150 peserta dijangka terlibat Perlumbaan Berbasikal ABC

0

LALUAN: Abang Mohamad Shibli (empat kanan) menunjukkan laluan bakal dilalui pelumba pada sidang media semalam.

KUCHING: Seramai 150 peserta dijangka terlibat dalam Perlumbaan Berbasikal Terbuka ABC 2015 sejauh 120km yang akan berlangsung di sini esok.

Pengerusi Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad, Datuk Abang Mohamad Shibli Abang Mohamad Naili berkata kebanyakan peserta mengesahkan penyertaan dari negara jiran seperti Brunei Darussalam, Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia, Semenanjung Malaysia serta beberapa kelab berbasikal sekitar negeri ini.

“Setakat ini, sambutan yang kita terima amat menggalakkan terutama peserta dari luar.

Perlumbaan ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kooperasi Al-Bait bertujuan menggalakkan masyarakat setempat terutama golongan belia melibatkan diri dalam budaya sihat dengan berbasikal,” katanya pada sidang media di Kompleks Islam Sarawak di sini semalam.

Jelas beliau, program itu juga bertujuan menghidupkan semula perlumbaan berbasikal secara kompetitif di negeri ini.

Perlumbaan bermula jam 7.30 dari Kompleks Islam Sarawak dan berakhir di pekarangan Medan Hamidah, Jalan Demak Laut dengan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan merasmikan perlepasan peserta.

Juara bagi kategori terbuka menerima RM1,500 pingat dan jersi, tempat kedua RM1,300 dan pingat manakala tempat ketiga RM1,100 berserta pingat.

Tempat keempat hingga keenam akan membawa pulang RM500 sementara tempat ketujuh hingga ke-10 akan menerima RM250.

Bagi kategori pelumba tempatan, tempat pertama menggondol RM500, tempat kedua RM400 dan ketiga RM300.

Tempat keempat hingga ke-10 meraih RM150 setiap seorang.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad, Iskandar Allan.