‘Deruman 4×4 gegar Padawan’

0

Oleh Harry Ilias//

SUMBANGAN: (Dari kiri) Wilfred, Dr Jerip, Lo, Charles dan Caroline (kanan) pada majlis penyerahan cek kelmarin.

KUCHING: Cabaran Ekstrem 4×4 Antarabangsa Padawan 2015 yang akan bermula hari ini dan berakhir esok (24 Mei) di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) mendapat suntikan tajaan berjumlah RM20,000 dari syarikat pemaju dan kontraktor gergasi Sarawak, Kumpulan Syarikat Naim (Naim).

Penyerahan tajaan tersebut diadakan pada majlis Pra-Gawai ‘Meet & Greet’ sempena menyambut ketibaan para peserta terlibat di Galeri Jualan Naim di sini kelmarin.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Muda Kesihatan Awam merangkap ADUN Bengoh, Datuk Dr Jerip Susil.

Hadir sama Pengurus Besar Kanan Naim, Charles Bateman, Ketua Komunikasi Korporat Naim, Caroline Yeo, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang dan Pengerusi Kejohanan, Wilfred Yap.

Jerip dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Naim atas sokongan terhadap perlumbaan lasak julung kali dianjurkan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan kerjasama Persatuan Otomobil Malaysia (AAM).

Menurutnya, perlumbaan tersebut bukan sahaja membuka mata pelumba luar terhadap keindahan alam semula jadi di sekitar Padawan malah memberi peluang kepada pengunjung mengenali dan mendalami keunikan budaya dan etnik di Sarawak.

“Padawan mempunyai banyak kawasan tarikan pelancong dan menjadikan perlumbaan itu semakin menarik dan mencabar bagi setiap peserta.

“Saya harap semua menikmati perlumbaan ini sambil merasai sendiri keindahan alam semula jadi dan keakraban masyarakat Sarawak sepanjang berada di sini,” katanya.

Pada masa yang sama, Dr Jerip mengajak peserta turut serta menyaksikan pelbagai acara sampingan disediakan penganjur seperti persembahan kebudayaan, pertandingan memukul gong dan ratu cantik etnik.

Terdahulu, Caroline memberitahu Naim berasa bangga dan teruja kerana diberi peluang untuk turut serta dalam penganjuran perlumbaan bertaraf antarabangsa itu.

Katanya, perlumbaan tersebut menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam meletakkan Sarawak di peta dunia sebagai pusat pelancongan terkemuka di negara ini.

Sejumlah 60 pasukan termasuk dari Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Semenanjung Malaysia dan Sabah bakal berentap bagi memburu hadiah lumayan yang ditawarkan.