Empat ditutup, lapan diarah bersih

0

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

KOTOR ATAU TIDAK?: Kakitangan Pejabat Kesihatan dan BDA yang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis makanan di Bintulu.

BINTULU: Empat premis makanan diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 manakala lapan lagi diarah menjalani pembersihan di bawah Seksyen 11 akta yang sama dalam Ops Premis Makanan Bersih oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) pada Selasa dan Rabu lalu.

Dalam kenyataan dikeluar Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu semalam, 12 premis terlibat adalah daripada 23 premis makanan yang diperiksa dalam operasi melibatkan 14 kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan lima kakitangan BDA.

Jurucakap kenyataan itu berkata, operasi itu bertujuan memastikan premis makanan di bahagian ini sentiasa bersih dan selamat dimakan termasuk memenuhi standard kebersihan yang ditetapkan.

“Ini sekali gus melindungi orang awam daripada penyakit bawaan makanan seperti kes keracunan.

“Antara kesalahan sering dilakukan pengendali makanan ialah tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan suntikan tifoid bagi pekerja, tidak menjalani latihan dan pengusaha makanan yang tidak menjaga kebersihan diri seperti berkuku panjang.

“Penyimpanan bahan mentah di dalam peti sejuk yang tidak selamat serta tidak mencapai suhu piawaian standard, makanan mentah diletak terus di atas lantai, tiada kawalan makhluk perosak dan lain-lain,” jelasnya semalam.

Justeru katanya, tindakan seperti pengeluaran notis kompaun di bawah Seksyen 3B Akta Makanan 1983 juga boleh diambil terhadap mana-mana pengusaha premis makanan yang masih lagi gagal mematuhi standard piawaian kebersihan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM 2009) apabila dilakukan pemeriksaan susulan.

“Diharapkan dengan operasi berkala seperti ini semua pengusaha premis makanan sentiasa mengambil berat mengenai aspek keselamatan dan kualiti makanan. Ini termasuk memastikan kebersihan makanan premis di Bintulu berada pada tahap tinggi untuk kesejahteraan dan kesihatan orang ramai,” jelasnya.