Lelaki tempatan ditahan akibat khianat

0

KHIANAT: Kerusi dan meja hangus terbakar akibat perbuatan khianat suspek pada kejadian 24 April lalu di sebuah restoran di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan ditangkap di sini pada Rabu selepas didapati terbabit secara langsung dalam kejadian membakar sebuah restoran pada 24 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pada 24 April lalu pihaknya menerima laporan mengatakan sebuah restoran di ibu negeri telah terbakar.

“Siasatan awal mendapati restoran berkenaan telah dibakar seorang lelaki sehingga menyebabkan kerugian kepada pemilik restoran yang mencecah RM25 ribu,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, pada 20 Mei lalu polis akhirnya menangkap suspek yang berada di kawasan Kampung Air, di sini sekitar jam 7.55 malam.

“Suspek seorang warganegara tempatan berumur 51 tahun yang bekerja sebagai buruh dan didapati terbabit secara langsung dalam pembakaran restoran berkenaan.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku membakar restoran berkenaan bagaimanapun punca dan motif sebenar suspek masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah, saringan ujian air kencing suspek adalah negatif.