Rohingya: PDRM pastikan tiada ancaman keselamatan

0

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan kehadiran sekumpulan 7,000 pelarian Rohingya tidakmempunyai sebarang elemen yang boleh mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata langkah berkenaan diambil memandangkan latar belakang individu dalam kumpulan itu tidak diketahui.

“PDRM sentiasa waspada semasa membuat dokumentasi dengan jabatan-jabatan seperti imigresen bagi memastikan tidak ada elemen yang boleh mengancam keselamatan negara dalam kumpulan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Bersama Ketua Polis Negara ke-9 di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh dan Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda.

Beliau berkata pihaknya juga mempertingkat kawalan keselamatan di kawasan perairan negara bersama agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, Khalid berkata lokasi penempatan 7,000 pelarian Rohingya di negara ini belum dikenal pasti.

“Kami masih menunggu, saya rasa Majlis Keselamatan Negara akan memanggil mesyuarat agensi-agensi yang terlibat dan akan membincangkan lokasi yang sesuai.

“Saya rasa lokasi yang mungkin kita buat ialah di kawasan utara negara kerana mudah untuk memindahkan mereka.

“Mungkin kerajaan boleh melihat untuk mendirikan pusat sementara ini di Pulau Pinang bagi memudahkan semua agensi menguruskan penempatan mangsa pelarianRohingya ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata PDRM sentiasa berwaspada terhadap ancaman kumpulan IS.

“Insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan negara kita tidak terus diancam dan sebarang usaha untuk melakukan apa juga bentuk keganasan di negara ini akan kita ambil tindakan,” katanya.

Khalid turut ditanya perkembangan kes penculikan di sebuah restoran di Sabah baru-baru ini.

“Saya tidak mahu mengulas tentang kedudukan ataupun keadaan mangsa, biarlah itu kami uruskan, demi keselamatan mangsa,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 7.45 malam itu, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

Mangsa kini dilaporkan berada di sebuah pulau di perairan Filipina.

Mereka ialah Thien Nyuk Fun, 50, yang juga kakak ipar pengurus restoran itu dan Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja. — Bernama