Abang Khalid presiden baharu PSS

0

Beliau memegang dua kerusi presiden selepas dilantik presiden Persatuan Sepak Takraw Kuching

Oleh Harry Ilias //

EXCO BAHARU PSS: (Dari kiri) Jaffery Ideris, Tedong Bugak, Ismail Abang Saufi, Abang Khalid, Latif Upit, Fudin Chee Kifli dan Ahmad Teni pada mesyuarat agung tahunan PSS di Kuching semalam.

KUCHING: Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) membuka lembaran baharu dengan melantik Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu (PEKEMA) Cawangan Sarawak, Datuk Abang Khalid Tan Sri Abang Marzuki sebagai presiden baharu berkuat kuasa semalam.

Pelantikan Abang Khalid menyaksikan beliau memegang dua kerusi presiden selepas dilantik sebagai presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Kuching bulan lalu.

Abang Khalid dipilih sebagai presiden PSS selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PSS bagi sesi 2015-2016 di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

AGM itu turut menyaksikan Ismail Abang Saufi dipilih sebagai Timbalan Presiden PSS selepas menewaskan penyandangnya, Nazri Ismail dengan kelebihan 18 undi apabila beliau meraih sebanyak 22 undi berbanding hanya empat diperolehi pihak lawan.

Jawatan Naib Presiden 1 dan II PSS turut menyaksikan penampilan muka baharu apabila Tedong Bugak (Persatuan Sepak Takraw Samarahan) dan Latif Upit menang tanpa bertanding setelah dicalonkan.

Lapan ahli jawatankuasa dipilih ialah Jori Mojib, Fitri Ramzee Ramlee, Awangku Nasir Pengiran Kerta, Mohamad Matasan, Idris Dezario, Openg Bujang Sum, Rashidi Solek dan Azlan Ahmad mengisi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PSS.

“Terima kasih kepada semua pihak terutamanya barisan Exco PSS 2015-2016 atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk menerajui tampuk kepimpinan badan induk ini.

“Sebagai membalas kepercayaan diberikan, saya akan berusaha meneruskan kesinambungan perjuangan PSS bagi memastikan pembangunan sukan sepak takraw di Sarawak mencapai sasarannya,” kata Abang Khalid dalam ucapan ringkasnya pada mesyuarat tersebut.

Menurut Abang Khalid, dengan mandat yang diberikan untuk mengemudi PSS beliau akan merangkakan pelbagai program terancang dengan memfokuskan terhadap program pembangunan peringkat akar umbi bagi menjulang semula penguasaan Sarawak dalam sukan ini.

K atanya, ini mencakupi pencarian bakat-bakat baharu di sekolah-sekolah serta menganjurkan kejohanan seluruh pelosok negeri ini.

“Saya mengharapkan kerjasama daripada pelbagai pihak baik kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta pihak-pihak tertentu bagi memastikan segala keinginan tersebut berjalan lancar,” jelas beliau.

Serentak dengan itu, Abang Khalid turut mengumumkan pelantikan Fudin Chee Kifli dan Ahmad Teni selaku Setiausaha Agung dan Penolong Setiausaha Agung PSS.

Manakala jawatan Bendahari Kehormat PSS dan Penolong Bendahari Kehormat disandang Jaffery Ideris dan Salleh Sani.