Dijangka 10,000 hadiri Majlis Pemansuhan Tol Jambatan Lanang

0

SIBU: Majlis Pemansuhan Tol Jambatan Lanang berlangsung pada pagi ini (24 Mei) dijangka dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Menurut Timbalan Residen Sibu, Dr Zulfar Yadi majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Majlis itu dihadiri semua rakyat termasuk pelajar sekolah, guru, ketua jabatan, kakitangan awam, ketua masyakarat, ketua kaum dari Bintangor, Sarikei, Kanowit, Julau dan Pakan.

“Penganjur juga turut menyediakan 20 buah bas memudahkan orang ramai datang memeriahkan majlis itu,” katanya ketika ditemui pada raptai majlis tersebut di sini semalam.

Turut sama Setiausaha Politik Ketua Menteri, Pau Kiew Chuang.

Zulfar berkata, majlis tersebut dianjurkan bersama Pejabat Ketua Menteri, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Residen Sibu.

“Semasa majlis itu, orang ramai turut dihiburkan dengan pertunjukan bunga api dan persembahan pentas,” jelasnya sambil menambah majlis tersebut bermula jam 8.30 pagi.

Zulfar berkata, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR)Bahagian Sibu turut mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersebelahan tapak majlis jam 8.30 pagi.

“Kempen itu dirasmikan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh,” katanya.