Freddy kecapi podium pertama dengan penuh dramatik

0

KUCHING: Pelumba gokart tersohor Sarawak, Freddy Lawan mengecapi podium pertamanya dalam kempen Cabaran Rotax Max 2015 selepas memenangi pusingan ketiga di sirkit Speedway Plus, Selangor minggu lalu dengan penuh dramatik.

Kemenangan pelumba profesional itu kali ini mirip babak dalam filem Hollywood apabila beliau mengalami kemalangan mengerikan pada peringkat saringan sebelum kembali dengan aksi cemerlang pada pusingan akhir dan sekali gus memenangi perlumbaan tersebut.

Menurut Freddy, beliau bermula baik dengan mencatat masa terpantas pada peringkat ujian masa dan saringan pertama.

Namun, mimpi ngeri pelumba itu berlaku pada saringan kedua apabila beliau dilanggar dari belakang oleh peserta dari Singapura, Lee Lung Nien yang turut bersaing dalam kategori veteran DD2 hingga mencederakan lutut kaki kanannya.

“Saya berasa sangat kecewa kerana dilanggar oleh pelumba sama yang melanggar saya sebanyak dua kali pada perlumbaan sebelum ini.

“Apa yang menghairankan, beliau seorang pelumba berpengalaman dan sering memenangi perlumbaan. Pada pendapat saya tindakan pelumba itu tidak profesional kerana beliau hampir membahayakan nyawa saya,” ujar Freddy.

Ekoran insiden tersebut, beliau terpaksa dikejarkan ke hospital namun doktor mengesahkan lututnya tidak mengalami sebarang keretakan.

Menurut Freddy, kemalangan itu hampir mematahkan semangatnya untuk berlumba pada peringkat akhir kerana beliau telah kehilangan banyak mata setelah terlepas peringkat saringan kedua dan pra-final.

“Saya memang tidak berniat meneruskan perlumbaan akhir kerana menyedari bermula pada petak akhir selepas kehilangan banyak mata. Ia pastinya amat sukar bagi saya ditambah masih terkesan akibat kemalangan tersebut.

“Namun, semangat saya kembali membara selepas bersua semula dengan pelumba mencederakan saya dan mengambil keputusan untuk turut serta dalam perlumbaan akhir sebanyak 20 pusingan,” ujarnya.

Seperti diramal, Freddy bermula pada petak akhir namun pantas memotong beberapa pelumba senior, master dan veteran sebelum memastikan kejuaraan dengan catatan masa terpantas 14:59.710s.

Lee Lung Nien sebelumnya cemerlang pada peringkat pra-final hanya sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 15:00.775s dan rakan senegara Freddy, Kong Chun Keat di tempat ketiga dengan masa 15:06.513s.

“Saya cukup gembira dan berpuas hati dengan kemenangan ini selepas apa yang dilalui. Saya tidak pernah putus asa dan tetap bersemangat untuk melawan walaupun mengalami kecederaan.

“Apapun, saya juga bersyukur kerana terselamat dari kemalangan yang mengerikan itu. Malah doktor yang merawat saya berkata saya amat bernasib kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.

Menurut Freddy, latihan secara konsisten di litar Stadium Negeri memberinya keyakinan menawan litar Speedway Plus yang terkenal dengan kesukarannya.

“Litar Speedway Plus sangat sukar kerana ia beralun dan mempunyai banyak selekoh tajam. Ini memberi peluang sama rata kepada semua pelumba untuk mencatat kemenangan.

“Namun, saya berjaya menguasainya dengan baik berbekalkan keyakinan yang diperolehi semasa latihan,” tambahnya.

Freddy akan meneruskan perlumbaan pusingan keempat di litar sama pada 13 dan 14 Jun depan.

Sebelum itu, beliau akan menyertai pusingan ketiga Siri Cabaran Malaysia 2015 pada 5-7 Jun di Litar Sepang.