Generasi muda jangan pilih kerja, rebut sebarang tawaran

0

MIRI: Generasi muda yang mencari pekerjaan dinasihat agar tidak bersikap terlalu memilih sebaliknya harus merebut peluang pekerjaan ditawar sesuai dengan kelayakan.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, August Buma berkata, jabatan melalui program penempatan pekerjaan menyedia banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada mereka menimba pengalaman.

“Di bahagian Miri misalnya, sebanyak 761 kekosongan dalam pelbagai jawatan. Justeru mereka yang masih mencari pekerjaan perlu merebut peluang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Penempatan Pekerjaan Azam Kerja 2015 Bahagian Miri di Dewan Suarah Miri, baru-baru ini.

Daripada jumlah itu, senarai kekosongan jawatan mengikut sektor pekerjaan di Miri ialah penggubal undang-udang, pegawai kanan dan pengurus (16), profesional (89), juruteknik dan profesional bersekutu (85), perkeranian (71), pekerja perkhidmatan, jualan, pekerja kedai dan jurujual (344), pekerja mahir pertanian dan perikanan (42), pertukangan (68), operator loji (39) dan pekerja asas (7).

Mengenai program itu, August berkata, ia turut diadakan di bahagian lain seperti Kuching dan Sibu.

“Kita akan mengadakan program sama peringkat negeri di Miri pada September depan dengan menawar lebih banyak jawatan kosong,” katanya.

Sementara itu, lebih 20 syarikat swasta berkaitan perhotelan, minyak dan gas, loji, perkhidmatan, pusat beli-belah dan peladangan mengambil bahagian dalam program tersebut.