Guru perlu ada pengurusan tekanan betul

0

Kebijaksanaan tangani pengajaran, pembelajaran elak ketegangan dalam kelas: Lee

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Pengurusan tekanan betul perlu ada dalam jiwa warga pendidik bagi mengelak timbul masalah pengajaran serta pembelajaran dalam kelas.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin memberitahu, ia penting dan perlu diamal guru supaya tidak mencetus suasana tegang dalam kelas.

“Jika guru menghadapi tekanan, suasana kelas akan menjadi suram dan tidak ceria. Apabila kelas menjadi tegang, ia memberi kesan kepada pelajar kerana tidak dapat belajar dengan baik,” katanya.

Kata Lee, pelajar mahu belajar dan mengharap ilmu daripada guru dan jika guru tertekan dan terbawa-bawa ke dalam kelas, pelajar terpaksa berdepan karenah guru beremosi dan tidak dapat menumpu perhatian.

Katanya, apabila guru beremosi, ia secara langsung akan menyebabkan pelajar bertanggapan negatif dan tidak berminat atau takut belajar.

“Justeru, guru harus mempunyai pengurusan tekanan betul dan tidak memberi kesan negatif kepada anak didiknya.

“Jangan campur-adukkan masalah rumah atau luar sekolah ke dalam bilik kelas. Guru perlu tahu membeza dan mengurus tekanan yang ada pada mereka,” ujarnya.

Lee berkata demikian dalam majlis sambutan Hari Guru SJK (C) Chung San Riam bertempat di Hotel Grand Palace di sini malam kelmarin.

Hadir sama ialah Guru Besar sekolah berkenaan Choo Chong Lok dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah terbabit Chai Min Kian.

Lee turut mengingatkan guru mengenai peranan mereka bukan sahaja memberikan pembelajaran tetapi bekerjasama mendidik masyarakat supaya bersama-sama membangunkan kemajuan negara.

“Guru bukan sahaja perlu ikhlas mengajar tetapi guru antara tulang belakang untuk pembangunan sesebuah negara yang maju,” katanya.

Pada majlis yang sama, Lee turut menyampaikan peruntukan bernilai RM10,000 untuk kegunaan sekolah berkenaan.