Outlet tarik balik kicap masin KR1M

0

TIDAK ADA: Rak yang sepatutnya untuk kicap soya masin KR1M kosong selepas Jabatan Kesihatan Negeri mengeluarkan arahan untuk menyita produk terbabit selepas didakwa melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Tinjauan dapati outlet patuh arahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri

Oleh Jeremy Veno //

KUCHING: Tinjauan di beberapa Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) terpilih di sini semalam mendapati kebanyakan outletnya mematuhi arahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri dengan menarik balik semua kicap masin jenama KR1M dari rak jualan mereka.

Menurut salah seorang pembantu kedai KR1M di Batu Kawa, outlet mereka dimaklumkan mengenai arahan berkenaan pada 22 Mei dan telah menarik balik semua produk itu iaitu 655ml (RM5.70), 60ml (RM1.50) dan 335ml (RM3.50) dari rak mereka untuk dikuarantin.

“Buat masa ini kami mempunyai lebih daripada 100 botol produk dikuarantin dan masih menunggu arahan selanjutnya tentang apa yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, mereka tidak pasti tentang kandungan tertentu dalam produk berkenaan yang mendorong Jabatan Kesihatan mengeluarkan amaran pada 19 Mei yang menyatakan bahawa ia melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Tambah pembantu kedai berkenaan, kicap soya masin KR1M berkenaan dikeluarkan sebuah kilang di Semenanjung Malaysia dan dihantar ke stokis di Padawan sebelum diagihkan kepada outlet KR1M.

Ditanya sama ada pelanggan boleh mendapatkan bayaran balik bagi produk berkenaan, katanya, ia di bawah bidang kuasa kementerian bertanggungjawab untuk KR1M iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sehingga kini hanya kicap manis jenama KR1M masih lagi diletak di rak KR1M memandangkan tidak ada arahan dikeluarkan untuk produk terbabit yang dipercayai dikeluarkan oleh syarikat lain.

Sementara itu, Pengarah KPDNKK Negeri Datuk Stanley Tan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan tidak dapat dihubungi untuk mengulas lanjut perkara berkenaan.

Kelmarin akhbar menyiarkan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil memberitahu bahawa pengusaha yang menjual kicap soya masin jenama KR1M untuk menarik balik produk berkenaan daripada dijual kepada pelanggan.

Tambah Dr Jerip pegawai dan penguat kuasa juga telah diarahkan turun padang memantau sebaik sahaja notis diedarkan pada hari yang sama (21 Mei).