Oleh Edwin Raoh //
SRI AMAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan pelabur swasta mendirikan kilang kelapa sawit di Sarawak.
Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia bagi menampung keperluan pekebun kecil kelapa sawit yang semakin bertambah sekali gus membantu memasarkan buah tandan segar.
Menurut Uggah, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya lima kilang kelapa sawit persendirian yang bukan dibina syarikat atau pengusaha ladang kelapa sawit.
“Saya percaya dengan langkah ini, ia dapat membantu pekebun kecil memasarkan hasil tanaman sawit pada harga lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Transformasi dan Pengembangan Pekebun Kecil Sawit Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.
Uggah juga Ahli Parlimen Betong berkata, ketika ini kebanyakan pekebun kecil menjual buah tandan segar di pusat pengumpulan di kawasan masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, mereka berdepan masalah apabila pusat pengumpulan itu menawarkan harga lebih rendah berbanding harga ditawarkan kilang.
Sehubungan itu, katanya, langkah lain bagi mengatasi masalah itu adalah melalui penubuhan koperasi dalam kalangan pekebun kecil.
“Masalahnya ialah apabila seseorang menjual sawit di kilang sawit, mereka diberi resit yang hanya boleh ditunai dalam tempoh sebulan. Kalau dijual di pusat kutipan, mereka dapat tunai namun harga lebih rendah.
“Justeru, jika ada koperasi ia akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan bayar tunai kemudian dijual kepada kilang dengan harga lebih baik,” jelasnya.
Dianggarkan 300 peserta terdiri pekebun kecil dari Bahagian Sri Aman menyertai program itu.
Turut hadir Menteri Muda Menteri Muda Pemodenan Pertanian Datuk Mong Dagang dan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat.