Jamin selesai lebih banyak masalah rakyat

0

HAPUSKAN TOL: Adenan melakukan simbolik pemansuhan Tol Jambatan Lanang di Sibu, semalam.

Adenan bertegas bela nasib rakyat jika diberi mandat terajui kerajaan lima tahun lagi

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bertegas akan terus membela nasib rakyat negeri ini jika diberi mandat untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri lima tahun lagi.

Katanya, beliau sedaya upaya menyelesai setiap masalah atau isu dihadapi  rakyat selagi bergelar Ketua Menteri.

“Jika anda memberi saya peluang lagi pada lima tahun akan datang, saya akan cuba selesaikan masalah anda.

“Banyak masalah akan saya selesaikan jika saya memimpin kerajaan negeri ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Pemansuhan Tol Jambatan Lanang di sini, semalam.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Insfrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Pengerusi Syarikat Shin Yang Tan Sri Datuk Ling Chiong Ho, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee serta para tetamu jemputan lain.

Adenan yang juga Menteri Kewangan merangkap Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar menjamin bahawa lebih banyak lagi masalah atau isu yang dihadapi rakyat negeri ini akan diselesaikan sekiranya terus memimpin negeri ini.

“Dalam setahun lebih saya menjadi Ketua Menteri, saya mahu lihat rakyat Sarawak diberi keutamaan oleh kerajaan pusat kerana kita pengeluar utama minyak dan gas.

“Justeru, saya masih lagi berbincang dengan Petronas untuk mendapatkan hak kita, royalti kita demi manfaat rakyat negeri ini,” katanya.

Jelasnya,  selepas ini banyak lagi usaha dilaksanakan serta diperjuang oleh beliau untuk manfaat rakyat negeri ini.

“Selagi belum dapat, selagi itu saya perjuangkan dan bersuara demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut berharap rakyat negeri ini dapat bersama dengannya bekerja untuk membangunkan Sarawak dan bukannya bekerja untuknya.

Adenan turut menasihati rakyat di negeri ini agar tidak terikut-ikut dengan budaya rakyat di Semenanjung Malaysia yang suka bergaduh melibatkan isu tertentu.

Beliau menyifatkannya sebagai satu sejarah baharu untuk negeri ini dengan memansuhkan tol atas usaha gigih kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita di Sarawak tidak mahu tol. Bermula jam 12 tengah hari nanti (semalam), secara automatik tol Jambatan Lanang dimansuhkan,” katanya sambil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syarikat Shin Yang  diketuai Ling kerana bersetuju tidak mengenakan tol lagi selepas mengambil kira kepentingan rakyat.