JPJ catat kutipan hasil ketiga tertinggi

0

Daftar 25.1 juta kenderaan babitkan pertumbuhan 5.38%, kenderaan aktif 18 juta

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mendaftarkan 25.1 juta  kenderaan membabitkan pertumbuhan sebanyak 5.38 peratus setahun manakala kenderaan aktif pula sebanyak 18 juta mewakili 3.84 peratus pertumbuhan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, bagi jumlah pemandu sehingga 2014, sebanyak 14.3 juta pemandu terkumpul yang dilesenkan bersamaan dengan 3.58 peratus pertumbuhan setahun.

“Manakala kutipan hasil berjaya dikumpul pada tahun sama sebanyak RM3.67 bilion sekali gus menjadikan JPJ sebagai agensi ketiga tertinggi mencatat kutipan hasil negara selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari JPJ 2015 Peringkat Negeri Sarawak di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) dekat sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Bahagian Korporat JPJ Wan Ramli Wan Daud.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menambah, JPJ merancang melaksanakan  Program My Lesen untuk masyarakat  bandar bagi membantu melesenkan hampir 300,000 rakyat Malaysia layak memiliki lesen memandu asas B2.

“Sebelum ini, kita melaksanakan Program Satu Komuniti Satu JPJ untuk membantu rakyat khususnya penduduk di luar bandar mendapatkan lesen sah.

“Seramai 77,508 calon berjaya memiliki lesen memandu asas B2 sejak program itu dilaksanakan sejak 2009,” katanya.

Katanya setakat ini sebanyak 14 ibu pejabat negeri telah ditubuh termasuk empat Akademi Pengangkutan Jalan bagi tujuan pembangunan dan latihan.

Ismail menambah, 65 cawangan kecil diwujud di seluruh negara bagi memenuhi permintaan masyarakat khususnya di pinggir bandar manakala 65 stesen penguat kuasa ditubuh di beberapa tempat tertentu bagi menjalankan operasi penguatkuasaan.

“Selain itu, sebanyak 13 Stesen Kawalan Sempadan dibina untuk mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan di wilayah sempadan.

“Manakala bagi memenuhi keperluan perkhidmatan di dalam bandar, sebanyak 10 pejabat JPJ beroperasi di UTC seluruh negara,” katanya.

Ismail menambah, sehingga tahun ini kekuatan keanggotaan warga JPJ terdiri daripada 8,235 anggota di seluruh negara.

Katanya ini membuktikan bahawa betapa permintaan dan penawaran terhadap penyampaian perkhidmatan JPJ terus meningkat.

Mengenai sambutan Hari JPJ, Ismail berkata ia merupakan acara tahunan bertujuan memupuk budaya kekitaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga JPJ.

Pada majlis  sama, turut disampaikan Anugerah Inovasi, Anugerah Kecemerlangan Sukan dan Anugerah Kesukarelaan di samping anugerah penghargaan untuk Skuad Muda 1JPJ yang berkhidmat kepada masyarakat.