PDRM gesa Filipina ambil tindakan tegas

0

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menyokong kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam menggesa kerajaan Filipina untuk bekerjasama serta bertindak tegas mengekang penjenayah selatan negara itu daripada terus melakukan jenayah rentas sempadan ke atas negara ini.

Di samping itu, Jalaluddin juga memberi penekanan kepada pihak berkuasa Filipina untuk memberikan komitmen tinggi dalam bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bagi mengatasi jenayah rentas sempadan ini.

“Perkara ini akan dihuraikan satu-persatu dalam kunjungan kerajaan Filipina ke sini kerana perkara ini sudah berlarutan hampir setengah abad sedangkan perkara ini boleh diselesaikan bersama dengan tindakan tegas kedua-dua belah pihak.

“Pihak berkuasa Filipina juga harus melakukan operasi memburu serta menyekat pergerakan rakyat negara itu terutama pergerakan bot tanpa permit yang keluar secara haram dari negara berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Latihan Asas Polis Bantuan siri 1/2015 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari EM Nadzeer dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Senior Asisten Komisioner Datuk Salehhudin Abd Rahman.

Seramai 137 anggota polis bantuan pelbagai agensi termasuklah Petronas, Shell, Sime Darby dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tamat latihan yang dijalankan selama dua bulan di IPK Sabah.

Latihan fizikal termasuk kawad untuk meningkatkan disiplin anggota serta undang-undang yang diterapkan dalam latihan membantu anggota polis bantuan untuk menjalankan kawalan keselamatan di kawasan bertugas yang ditetapkan agensi.

Sementara itu, Jalaluddin menegaskan mana-mana pihak agar tidak mempertikaikan keberkesanan pengawalan ESSCom berikutan kawasan perairan negara yang luas selain mengambil berat aspek berkaitan.

“Pelbagai usaha dijalankan untuk mengawal perairan negara termasuklah bertindak dengan maklumat yang diberikan tetapi semua ini tidak dapat dielakkan dengan tindakan orang dalam yang membawa masuk penjenayah sebelum waktu malam mengakibatkan kegagalan pihak berkuasa mengawal keadaan.

“Setakat ini keadaan dua rakyat tempatan yang berada dalam tahanan penjenayah berada dalam keadaan selamat dan keluarga mangsa mengesahkan menerima tiga panggilan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata penjenayah dipercayai bergerak dari satu pulau ke pulau yang lain bagi menempatkan mangsa berada dalam keadaan selamat dan mengelakkan dari dikesan pihak berkuasa.

Jalaluddin juga mengesahkan kumpulan ‘Muktadil bersaudara’ terbabit dalam kes culik yang berlaku baru-baru ini berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Filipina melalui media sosial termasuk Facebook.

Beliau berkata walaupun mereka tidak terbabit secara langsung dalam kes ini tetapi penjenayah kes culik itu adalah dalam golongan kumpulan yang sama.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin mengesahkan suspek menyerupai ‘Mat Malaya’ kini dikesan di Tawau berdasarkan kenderaan yang dinaiki serta kelibat muka yang menyerupai suspek dan tindakannya yang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemburuan berterusan dan menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu mengatakan suspek melepaskan tembakan di tempat awam untuk mengelakkan huru hara berlaku dalam kalangan masyarakat.