PKS berperanan penting lonjakkan ekonomi S’wak

0

Kerajaan galak penyertaan rakyat dalam PKS terutama pengeluaran produk makanan: Awang Tengah

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memain peranan penting dalam membantu melonjakkan ekonomi negara khususnya di Sarawak, kata Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan menerusi agensi-agensi tertentu amat menggalakkan penyertaan rakyat dalam PKS terutama pengeluaran produk makanan.

gIni kerana sektor ini terbukti amat penting dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi Sarawak,h katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Raikan PKS di Tebingan Kuching, malam kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi.

Berdasarkan senarai pendaftar perusahaan Kementerian Pembangunan Perindustrian menurutnya, sebanyak 98 peratus adalah PKS manakala hanya dua peratus syarikat besar.

gKita boleh lihat berdasarkan kepada peratusan ini, PKS turut memberi sumbangan kepada ekonomi negeri,h ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut berharap PKS dapat terus meningkatkan produktiviti.

Usahawan yang berminat menceburi PKS turut dibantu dengan bantuan pinjaman mudah berjumlah RM20,000 hingga RM250,000.

Kemudahan itu disediakan oleh SME Bank untuk membolehkan usahawan PKS mengembangkan perniagaan masing-masing.

Terdapat beberapa agensi lain turut menyediakan bantuan kewangan kepada usahawan PKS antaranya MATRADE, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), SME Corp serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie.

 

 

 

TERTARIK: Julaihi tertarik melihat produk yang dipamerkan sempena Program Raikan PKS.