Usaha serius tangani kes kecurian FFB

0

Tindakan tegas terhadap pekebun kecil kelapa sawit jika langgar peraturan MPOB

Oleh Rusnan Mustafa //

SIMUNJAN: Tindakan tegas akan diambil terhadap pekebun kecil kelapa sawit sekiranya melanggar peraturan menjual buah tandan segar (FFB) yang ditetapkan oleh Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tindakan tegas itu diambil bagi menangani kes kecurian FFB yang dilihat serius berlaku di negeri ini.

gSetiap satu lesen yang dimiliki oleh pekebun kecil hanya boleh menjual FFB tidak melebihi dua tan bagi memastikan kes kecurian kelapa sawit mentah ini dapat ditangani.

gMalah, kesemua kilang atau pusat pengumpulan yang membeli FFB daripada pekebun kecil juga dilaksanakan satu program iaitu setiap kilang dan pusat perlu mempunyai senarai jualan dan penjual mereka bagi memastikan tiada penyelewengan dilakukan,h katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan anak benih sawit kepada peserta Program Penanaman Baharu Pekebun Kecil di Kampung Sungai Alit di sini semalam.

Pada mada sama Uggah memberitahu, sekiranya terdapat pekebun kecil melanggar peraturan itu dan terlibat dalam menjual FFB curi, pihaknya akan memberi amaran dan lesen akan digantung.

gSekiranya kesalahan ini diulangi kami tidak teragak-agak untuk menarik semula lesen mereka,h tegasnya.

Beliau menjelaskan bahawa sejak Ops Sawit Kenyalang dilancarkan Julai tahun lalu, setakat ini sebanyak 23,000 lesen dikeluarkan di seluruh Sarawak untuk pekebun kecil menjual FFB mereka.

gDahulu kami tidak mempunyai cara untuk memantau kecurian FFB ini tetapi sekarang menerusi program yang dilaksanakan di bawah MPOB, saya yakin masalah kecurian dapat diatasi,h katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati pekebun kecil yang belum mempunyai lesen menjual FFB agar tampil ke hadapan untuk memohon daripada MPOB.

Jelasnya, ia penting bagi memastikan pekebun kecil dapat menjual FFB mereka kepada kilang dan pusat pengumpulan.

gKalau tidak ada lesen mereka tidak boleh menjual buah tandan segar mereka kepada kilang atau pusat pengumpulan kelapa sawit,h katanya.

Pada majlis itu, seramai 95 pekebun kecil dari Kampung Sungai Alit terlibat dalam program tanaman baharu kelapa sawit melibatkan tanah seluas 118 hektar menerima anak benih sawit mereka.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata seramai 483 pekebun kecil di kawasan Parlimennya (Batang Sadong) telah menerima bantuan skim tersebut.

Hadir sama Ketua Wilayah MPOB Sarawak Sulim Lumong, Ketua Kampung Sungai Alit Blayong Jalani dan tetamu kehormat lain.