Dua penagih tegar diberkas polis ketika sedang ‘lalok’

0

DICEKUP: Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri semalam.

MIRI: Dua penagih tegar sedang ‘lalok’ berjaya diberkas polis hasil serbuan di sebuah rumah di Tudan, di sini pagi semalam.

Berikutan tangkapan itu, kedua-dua suspek berusia 50 dan 54 tahun kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber bertindak atas maklumat, sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman melakukan serbuan ke sebuah rumah di Kampung Tudan Fasa 2, di sini.

Dalam serbuan sekitar jam 10.20 pagi, polis menahan dua lelaki sedang ‘lalok’ untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian air kencing dan hasilnya menunjukkan kesan postif dadah jenis amphetamine.

Suspek pertama masih bujang manakala suspek kedua merupakan duda beranak enam ditangkap  untuk membantu siasatan lanjut polis mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengambil dadah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Difahamkan, suspek kedua pernah dipenjarakan selama enam tahun dan baharu sahaja dibebaskan lima bulan lalu.