Islam agama pentingkan keamanan dan ketenteraman

0

Ramai masyarakat bukan Islam salah anggap terhadap agama Islam ekoran isu-isu global yang dimanipulasi media asing, kata Ali

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

MIRI: Meskipun berbeza fahaman agama dan kepercayaan, masyarakat bukan Islam menyedari bahawa Islam adalah agama mementingkan keamanan dan ketenteraman.

Pengerusi Persatuan Imam Bahagian Miri Ali Abdul Rahman berkata ramai masyarakat bukan Islam salah anggap terhadap agama Islam ekoran isu-isu global yang dimanipulasi media asing.

“Islam adalah agama menekankan keamanan, persefahaman serta mengelak pertelingkahan, namun isu melibatkan keagamaan sering dimanipulasi media asing sehingga mencemarkan imej Islam,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, ahli-ahli persatuan itu yang terdiri daripada imam-iman surau dan masjid di sini  mengadakan lawatan ke Rumah Orang-Orang Tua Krokop.

Hadir sama Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut Adam Yii.

Menurut Ali, sebagai pertubuhan bukan kerajaan masyarakat Islam, tujuan lawatan itu adalah mempromosikan Islam yang mencintai keamanan, perpaduan dan hidup penuh harmoni.

“Meskipun kita berbeza agama dan kepercayaan, namun ia bukan alasan untuk kita tidak menziarahi masyarakat bukan Islam kerana Islam mahu umatnya memperkukuh hubungan baik antara satu sama lain,” jelasnya.

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mengamalkan demokrasi iaitu rakyat bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

“Malah, di Sarawak telah lama mengamalkan konsep 1Malaysia iaitu rakyat bersatu padu, hidup dalam harmoni serta memahami satu sama lain justeru, keagamaan bukan isu lagi di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Adam turut berkongsi pandangan sama bahawa Sarawak adalah sebuah negeri mengekalkan dan mewarisi keamanan sejak dahulu meskipun rakyatnya pelbagai kaum dan agama.

“Lawatan mereka itu membuktikan bahawa Islam juga seperti agama lain yang mementingkan keamanan, persefahaman satu sama lain serta mengelakkan pertelingkahan atau keganasan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap lebih banyak aktiviti sedemikian dianjurkan bagi memperkukuh perpaduan di kalangan rakyat.

Aktiviti menziarahi satu sama lain contohnya bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim tetapi mengekalkan persefahaman di kalangan mereka.