Kicap dikesan mengandungi bahan pengawet berlebihan

0

KPDNKK kenal pasti kicap soya masin jenama KR1M didapati langgar Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985

Oleh Nick Fletcher //

PERJELAS: Stanley (tengah) pada sidang media di KPDNKK Sarawak di Kuching, semalam.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri sedang dalam proses mengenal pasti kelompok kicap soya masin jenama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Menurut Pengarah KPDNKK Sarawak Datuk Stanley Tan, kelompok kicap berkenaan adalah yang tamat tempoh pada 15 Ogos 2017 apabila ia dikesan mengandungi asid benzoik iaitu bahan pengawet yang berlebihan.

Namun, katanya setakat ini hanya dua botol daripada kelompok kicap tersebut yang diambil balik di mana kedua-duanya ditemui di Limbang.

“Kelompok kicap ini telah terlebih kandungan asid benzoik sebanyak 20 miligram (mg)… sepatutnya, kandungan asid benzoik yang ditetapkan adalah 1,000mg tetapi kelompok kicap ini mengandungi 1020mg.

“Walaupun ia hanya kandungan yang kecil, kami tetap mengambil berat mengenainya untuk memastikan kualiti makanan itu terjamin,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Turut hadir Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Sarawak Mohd Fikri Lai Abdullah, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kesihatan Negeri Ahmad Zaidi Ujang dan Penolongnya Lim Joo Kok.

Dalam pada itu, Stanley berkata Jabatan Kesihatan Negeri turut menjalankan persampelan ke atas kelompok lain produk yang sama serta jenama lain yang dijual di KR1M dan ia telah didapati selamat.

“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas kicap soya manis KR1M serta kicap lemak manis jenama Adabi yang dijual di KR1M dan semuanya adalah dalam kualiti yang bagus,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pemeriksaan secara rutin juga akan dilakukan ke atas produk-produk lain yang dijual di KR1M bagi memastikan ia selamat.

“Ia bertujuan memastikan kualiti makanan dan barangan yang dijual di KR1M adalah terjamin sekali gus memberi keyakinan kepada pengguna terhadap produk KR1M,” katanya.

Stanley kemudian menjelaskan bahawa isu kicap soya masin KR1M itu merupakan kes yang pertama di negeri ini.

Justeru, beliau berkata semua 30 outlet KR1M di seluruh Sarawak telah diarahkan untuk menarik balik semua produk berkenaan dari rak jualan mereka kerana ia didapati melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.