Majoriti Dayak di bawah kumpulan B40: Gramong

1

Cenderung dibelenggu kemiskinan jika gagal kejar rancangan pembangunan kerajaan

Oleh Watt Zacchaeus //

MAJORITI DAYAK B40: Dayak cenderung dibelenggu kemiskinan jika gagal kejar rancangan pembangunan kerajaan untuk capai Wawasan 2020.

KANOWIT: Masyarakat Dayak cenderung dibelenggu kemiskinan sekiranya mereka gagal mengejar rancangan pembangunan kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna berkata Perdana Menteri membentangkan pelan pembangunan dan strategi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) baru-baru ini.

Menurutnya, RMK11 adalah pelan terakhir sebelum Malaysia mencapai status negara maju dan sasaran ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020 yang hanya tinggal lima tahun lagi.

“Apa yang saya tanya kepada masyarakat kita bagaimana pencapaian kita dengan kemajuan yang kerajaan mahu kita capai? Di manakah kita sekarang dari segi ekonomi?,” katanya pada Majlis Sambutan Pra-Gawai Dayak Daerah Kanowit di sini malam Sabtu lalu.

Majlis itu dianjurkan bersama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Kanowit dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Kanowit.

Hadir sama isterinya, Datuk Catherine Gramong, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang serta isteri, Datin Rowenna Ping Bungan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent serta isteri, Susan Clement, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong dan pengerusi pengelola Jabang Juntan.

Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) itu memberitahu, majoriti masyarakat Dayak kini masih dikategorikan di bawah kumpulan ‘Bottom 40’ (B40) iaitu berpendapatan rendah.

Kumpulan itu terdiri daripada satu anggaran 11.7 juta atau 40 peratus rakyat Malaysia yang hidup dalam pendapatan isi rumah di bawah RM3,050 sebulan.

Beliau menegaskan, daripada pandangan peribadinya kehidupan masyarakat Dayak masih tidak stabil dan ekonomi masih lemah.

Justeru, beliau menasihati masyarakat Dayak berkongsi tanggungjawab bersama memperbaiki kehidupan mereka dan bukan menyalahkan sesiapa jika kehidupan masih tidak berubah.

“Dalam RMK11, Perdana Menteri memberi penekanan kepada kepentingan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional  melahirkan tenaga kerja mahir kerana mereka mempunyai kemahiran teknikal boleh mendapatkan pendapatan baik.

“Bagi kita untuk maju, belia kita mesti tahu bagaimana untuk mengenal pasti peluang-peluang dan mengikuti dasar-dasar kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata masyarakat Dayak kini tidak perlu membuang masa berjuang tentang perkara-perkara atau isu-isu kecil.

ADAT: Gramong (dua kanan), Aaron (tiga kanan) serta yang lain menyempurnakan upacara miring pada Majlis Sambutan Pra-Gawai Dayak Daerah Kanowit.