Dadah: Dua wanita termasuk seorang warga asing diberkas

0

DIBERKAS: Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri malam kelmarin untuk disoal siasat.

MIRI: Dua wanita termasuk seorang warga asing disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah berjaya ditahan polis di sini petang kelmarin.

Semasa tangkapan, polis merampas satu paket plastik kecil berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis ketamine.

Berikutan itu, kedua-dua suspek berusia lewat 20-an dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua suspek terbabit dan rampasan dadah tersebut.

Katanya, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) membuat rondaan cegah jenayah menahan sebuah kereta jenis Toyota Vios di tepi Jalan Airport, di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dalam keadaan mencurigakan.

Ketika ditahan, polis mendapati terdapat dua wanita berada dalam kereta berkenaan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, polis menjumpai satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis ketamine daripada suspek wanita Vietnam.

“Barang disyaki dadah dengan anggaran berat 0.68 gram itu dirampas untuk dijadikan barang kes dan kedua-dua suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan awal air kencing,” katanya.

Hasil ujian mendapati hanya air kencing suspek pertama menunjukkan kesan positif dadah jenis amphetaminer.

Sehubungan itu, kedua-dua suspek kemudian ditangkap masing-masing mengikut Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan polis.