Jaminan layanan adil kepada kakitangan MAS

0

Oleh Phyllis Wong, Peter Sibon dan Lian Cheng//

UNTUK ALBUM: Muller bergambar bersama Adenan semasa kunjungan hormat. Turut hadir Md Nor (kiri) dan Morshidi (kanan). — Gambar Penerangan

 

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penerbangan Malaysia (MAS) Christoph Mueller memberi jaminan bahawa kakitangan syarikat itu yang terjejas dalam penstrukturan semula akan diberi layanan adil.

“Saya memberi jaminan ia akan adil kepada semua. Mereka yang tidak terbabit (dalam penstrukturan semula) akan diberi faedah sepatutnya. Anda boleh memegang kata-kata saya,” katanya.

Mueller memberitahu The Borneo Post selepas sesi perjumpaan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Mengenai program penstrukturan semula yang mungkin menjurus ke arah pemberhentian pekerja dalam jumlah yang ramai, Mueller enggan memberi perincian melainkan memberitahu bahawa kumpulan pengurusan dan pentadbirannya semalam telah mengadakan perjumpaan dengan kesatuan-kesatuan sekerja MAS termasuk dari Sarawak.

“Seperti yang dibincangkan, kita mempunyai ECP (Panel Perundingan Pekerja) yang bermaksud pasukan pengurusan saya bersama pentadbiran mengadakan pertemuan dengan semua kesatuan sekerja MAS dan ia merangkumi kesatuan dari Sarawak.

“Saya akan memberi ruang kepada mereka untuk berbincang dan tidak akan mengulas di media hari ini,” kata Mueller.

Mengenai bilangan kakitangan terutama warga Sarawak yang mungkin terjejas dalam penstrukturan semula itu, Mueller menegaskan bahawa maklumat berkenaan hanya akan dimaklumkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja dan pihak berkuasa terbabit seperti kerajaan negeri.

Menurut Seksyen 119D, Ordinan Buruh Sarawak dan Seksyen 118D Ordinan Buruh Sabah, dalam proses pemberhentian pekerja, pekerja dari Semenanjung Malaysia akan diberhentikan terlebih dahulu dan mereka dari Sarawak dan Sabah dikekalkan.

Katanya MAS akan mengadakan sidang media pada 1 Jun di Kuala Lumpur bagi memaklumkan pelan penstrukturan semula itu termasuk bilangan kakitangan yang diberhentikan.

“Saya belum bersedia untuk membincangkan perinciannya tetapi semua maklumat akan diberikan kepada kesatuan-kesatuan sekerja dan didedahkan kepada umum pada Isnin minggu depan,” katanya.

Mengenai kunjungan terhadap Adenan, Muller yang ditemani Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Yusof berkata, tujuan kunjungan hormat adalah untuk memberitahu Adenan maklumat program penstrukturan semula yang menjadi tajuk utama dalam media utama negara.

“Kami mahu memberitahunya mengenai program pensrukturan semula MAS kerana kami menyedari tentang khabar angin dan kami mengambil peluang untuk mengemas kini kepadanya tentang impak ke atas Sarawak yang mana ia merupakan berita yang baik,” katanya.

Muller bagaimanapun berkata, beliau akan membiarkan Adenan mengumumkan berita baik itu.

Pada mesyuarat yang telah dijadualkan sebelum ini, agenda mesyuarat bukan sahaja menumpukan kepada pemberhentian rakyat Sarawak dalam MAS tetapi kepentingan negeri dalam memberi subsidiari MAS iaitu MASwings.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pernah berkata pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lepas yang mana Sarawak dan Sabah berminat untuk mengambil alih MASwings dengan pemilikan 50-50 apabila cadangan itu dapat direalisasikan.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata, syer lima peratus kerajaan negeri dalam MAS dijual balik kepada Khazanah Nasional Berhad dalam proses penswastaan dan disenarai semula.

“Proses penstrukturan semula tidak akan memberi kesan kepada perkhidmatan penerbangan di Sarawak. Semuanya akan berjalan seperti biasa,” tegas Morshidi.

Salah seorang pekerja MAS positif dengan rancangan penstrukturan semula itu sekiranya untuk kebaikan syarikat.

Menurutnya, MAS menjaga kebajikan kakitangan dengan baik, tidak seperti yang dilaporan dalam akhbar nasional.

“Biarpun MAS akan menjalankan latihan semula untuk mengukuhkan keupayaannya dan jika kami tidak diserap dalam syarikat baharu, MAS sudah tentu akan membantu kami mencari pekerjaan baharu,” katanya.

Dilaporkan perkhidmatan 20,000 pekerja akan ditamatkan tetapi dua pertiga daripada mereka akan diambil semula syarikat penerbangan baharu.