Lanun cetak rompak lagu iban digempur

0

TINDAKAN TEGAS: Pegawai penguasa kuasa KPDNKK merampas CD dan DVD cetak rompak ketika serbuan di sebuah kedai di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Sebanyak 1,067 unit CD dan DVD cetak rompak bernilai RM5,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu serbuan mengejut di sini, kelmarin.

Operasi tersebut dilancarkan malam kelmarin ke atas kedai-kedai VCD di pasar malam berikutan aduan Persatuan Muzik Dayak (DAMA) dan orang ramai berhubung jualan berleluasa album cetak rompak.

Ketua KPDNKK Sibu Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata, seramai lapan pegawai penguat kuasa dari Sibu, Bintulu dan Kuching terlibat dalam serbuan tersebut yang dijalankan sempena Hari Gawai Dayak pada 1 Jun ini.

“Inilah masanya mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang menjual CD dan DVD lagu-lagu Iban cetak rompak,” katanya di sini semalam.

Mereka terbabit menjual barangan itu akan dihadapkan di mahkamah dan boleh didenda sehingga RM2,000 bagi setiap keping CD dan DVD yang disita.

Katanya, kementerian bekerjasama dengan pihak persatuan berkenaan dalam penyiasatan itu bagi membawa pesalah ke muka pengadilan.

“Kita menggiatkan operasi di seluruh negeri dengan menjalankan serbuan di pasar malam dan kedai-kedai VCD,” katanya.

Abdul Hafidz berkata, kementeriannya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penjual perisian cetak rompak bagi melindungi kepentingan warga industri yang terjejas terutamanya penyanyi, komposer dan penulis lagu.