Lelaki disyaki curi buah di kebun dicekup

0

DIBERKAS: Suspek cedera di dahi kiri semasa ditangkap semula oleh polis kelmarin setelah diserahkan penduduk kampung.

MIRI: Seorang lelaki berusia 43 tahun disyaki mencuri buah-buahan di sebuah kebun milik seorang lelaki lain diberkas polis malam kelmarin.

Tangkapan ke atas suspek dibuat sekitar jam 8.47 malam setelah diserahkan oleh penduduk kampung.

Menurut sumber, petang kelmarin beberapa penduduk kampung ternampak kelibat seseorang berada di sebuah kebun buah di Jalan Pujut Padang Kerbau di sini.

Kebun buah itu merupakan milik seorang penduduk kampung yang juga kakitangan kerajaan.

Melihat keadaan itu, sekitar jam 6.45 petang hari sama mereka berjaya menangkap lelaki terbabit kerana disyaki mencuri buah-buahan di kebun tersebut dan menyerahkannya kepada pemilik kebun sebelum menghubungi polis.

Polis yang tiba kemudian menangkap semula suspek setelah diserahkan oleh pemilik kebun.

Semasa tangkapan dibuat, polis menjumpai dan merampas sebilah parang berukuran 26cm panjang, sebilah gergaji 54cm panjang dan sebuah beg sandang milik suspek untuk dijadikan barang kes.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut.

“Semasa ditangkap semula polis, kita mendapati suspek mengalami kecederaan di bahagian dahi kiri.

“Sehubungan itu, beliau ditahan lanjut untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.