Rangka dalam belukar

0

Oleh Jeremy Lanson//

JUMPA: Anggota polis membawa kedua-dua rangka motosikal tersebut keluar dari kawasan belukar untuk dihantar ke IPD Kuching.

 

KUCHING: Sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya menemui dua rangka motosikal di kawasan belukar berdekatan bangunan kerajaan di Petra Jaya di sini, semalam.

Menurut sumber, motosikal tersebut ditemui ketika anggota dari Unit Tugas Khas IPD Kuching terbabit sedang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan sekitar jam 10 pagi.

Difahamkan, dua lelaki dalam keadaan mencurigakan pada mulanya dilihat berada di kawasan tersebut sebelum kedua-dua mereka melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak polis.

“Anggota polis terbabit yang melakukan pemantauan di kawasan itu melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan. Mereka kemudian melarikan diri sebaik sahaja menyedari kelibat mereka diperhatikan.

“Pemeriksaan di kawasan belukar tersebut kemudian berjaya menemui dua buah motosikal yang telah ditanggalkan kesemua komponennya,” kata sumber.

Siasatan susulan mendapati kedua-dua motosikal tersebut dilaporkan hilang di kawasan Batu Kawa, baru-baru ini.

Kedua-dua motosikal tersebut kemudiannya dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah taska di Stutong di sini dipecah masuk awal pagi semalam.

Insiden disedari oleh seorang pekerja taska tersebut selepas mendapati pintu hadapannya dibuka secara paksa sekitar jam 7 pagi.

Pemeriksaan lanjut mendapati satu unit telefon pintar hilang. Turut ditemui sebilah pisau dapur dipercayai milik suspek.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.