Remaja diragut ketika hendak ke tandas

0

SIBU: Seorang remaja lelaki menjadi mangsa ragut ketika berjalan menuju ke tandas awam di Terminal Bas, Jalan Pahlawan di sini pagi semalam.

Mangsa, 20-an berbangsa Iban dikatakan masuk ke tandas awam apabila seorang lelaki memakai topi keledar muncul dan bertindak merampas beg sandangnya sekitar jam 9 pagi semalam.

Terkejut dengan keadaan itu, mangsa menjerit meminta bantuan orang awam tetapi lelaki tidak dikenali itu pantas melarikan diri sebelum menaiki sebuah motosikal bersama seorang rakan yang menunggu tidak jauh dari situ.

Mangsa terpingga-pingga selepas kejadian itu kemudian meminta bantuan orang awam menghantarnya ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis.

Turut dilaporkan hilang termasuk wang tunai RM200, kad pengenalan dan dokumen peribadi.

Dalam pada itu, polis meminta orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berada di tempat awam yang sesak menjelang musim perayaan Gawai Dayak ini.

Semalam, sebanyak lima kes ragut dilaporkan berlaku di sekitar bandar ini.