Warga emas dipenjara dua tahun pecah amanah RM100,000

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas kesalahan melakukan pecah amanah melibatkan wang RM100,000 milik Persatuan Nelayan Marudu-Pitas.

Hakim Datuk Ishak Bakri bagaimanapun membenarkan Yunus Odis, 61, menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi dengan mengenakan syarat baharu iaitu wang jaminan ditingkatkan kepada RM10,000.

Sementara itu, Fitri Alias, 31, yang turut didakwa melakukan pecah amanah itu dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas Fitri menjalani perbicaraan penuh yang dijalankan kelmarin.

Terdahulu, Fitri dan Yunus didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 Mac 2009, di pejabat persatuan itu yang terletak di Kota Marudu.

Fitri yang juga pengarah urusan persatuan di daerah itu, didakwa melakukan pecah amanah dengan Dana Transformasi Nelayan Syarikat Siti Bersatu iaitu memberikan wang berkenaan kepada Yunus.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan atau denda.

Manakala, Yunus didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyalahgunakan wang yang diberikan kepadanya.

Dengan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau boleh dikenakan sebatan dan denda.

Ketika pendengaran kes terbabit di Mahkamah Sesyen Kudat, pihak pendakwaan telah memanggil sekurangkurangnya 17 saksi dalam kes berkenaan.

Sementara itu pada peringkat pembelaan, Yunus yang diwakili peguam Mohd Ari Nazrah, memanggil dua saksi dan Fitri yang diwakili oleh peguam PJ Perira menjadi saksi tunggal.

Pendakwaaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Awang Shamsul Baharom.