41 pasukan sertai Kejohanan Petanque Double Terbuka Sri Aman 2015

0

Oleh Kelvin Lambai //

KENANGAN: Harden (duduk tengah), Dahlan (duduk, dua kiri) serta ahli-ahli jawatankuasa pengelola merakamkan gambar bersama para pemenang pertandingan.

PERSATUAN Petanque Sri Aman telah menganjurkan Kejohanan Petanque Double Terbuka Sri Aman 2015 Piala Yang Berhormat Datuk Francis Harden Hollis di Arena Petanque Sri Aman, baru-baru ini.

Pertandingan yang berlangsung dua hari itu telah disertai sebanyak 41 pasukan yang datangnya dari Sri Aman, Sibu, Kuching, Sarikei dan Bintangor.

Pengerusi Persatuan Petanque Sri Aman Dahlan Ham berkata, pertandingan yang dianjurkan ini merupakan salah satu aktiviti persatuan bersempena dengan Pesta Benak Sri Aman tahun ini.

Tempat pertama pertandingan telah disandang oleh SMK Santubong C diwakili pasangan Eirwan dan Shairadzi yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala.

Naib johan pula menjadi milik SMK Santubong A yang diwakili oleh Mohamad Ahir dan Muhammad Amirul yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan piala.

Tempat ketiga pula disandang oleh Bintangor 3 yang diwakili oleh Mohd Aini dan Rapen yang menerima RM500 dan piala, manakala tempat keempat dimenangi oleh KePS 3 yang menerima RM300 dan piala.

Manakala tempat kelima hingga kelapan yang menerima RM100 masing-masing dimenangi oleh Poyot dan Son, Sibu B, Sibu E dan Sibu A.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis.

Pada majlis berkenaan, Harden turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM8,000 kepada Persatuan Petanque Sri Aman bagi tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.

BERENTAP: Sebahagian daripada peserta sedang berentap dalam Kejohanan Petanque Double Terbuka Sri Aman 2015.