Arif optimis rangkul pingat

0

Bersedia kekalkan pingat gangsa dalam acara 4×400 meter pada Sukan SEA Singapura

Oleh Harry Ilias //

BERBAKAT: Gambar fail Arif ketika memenangi emas dalam acara 400 meter pada SUKMA 2014 di Perlis.

KUCHING: Tiada yang lebih menggembirakan atlet balapan, Mohd Arif Zulhusni Alet selain menghadiahkan pingat untuk negara pada temasya Sukan SEA Singapura yang tinggal lapan hari sahaja lagi untuk bermula.

Meskipun menyedar i saingan yang dihadapi bakal mencabar, atlet dari Sarawak itu tetap optimis mampu memenangi pingat terutama dalam acara kegemarannya, 400 meter.

“Misi saya kali ini adalah untuk membawa pulang pingat dalam acara 400 meter.

“Selain itu, saya juga berhasrat untuk mengekalkan pingat gangsa dalam acara 4×400 meter yang dimenangi pada Sukan SEA Myanmar dua tahun lepas,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Masa terbaik Arif dalam acara 400 meter adalah 47.42s ketika merangkul emas pada SUKMA di Perlis tahun lepas.

“Saya sedar saingan amat sengit kerana kebanyakan lawan saya mencatat masa bawah 47.00s. Namun, saya tetap yakin mampu mencatat masa yang lebih baik,” katanya dengan nada yakin.

Menurut Arif, 21, jurulatihnya Robert John Ballard dari Australia juga yakin dengan kemampuan beliau untuk mecipta masa yang lebih pantas.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Samarahan itu juga berhasrat untuk mengikut jejak langkah Olympian 2013, Mohd Jironi Riduan yang menghadiahkan dua pingat emas pada Sukan SEA Myanmar 2013.

“Jironi sentiasa menjadi idola saya untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan,” ujarnya.

Malaysia akan menyertai 35 daripada 36 acara sukan pada temasya dwitahunan yang akan berlangsung dari 5 hingga 16 Jun depan di Singapura.