Belanja dengan bijak, tempoh skim kawalan harga Gawai dipanjangkan

0

SIBU: Pemanjangan tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Gawai daripada tujuh hari pada tahun lepas kepada 10 hari pada tahun ini memberi peluang kepada pengguna membuat persiapan awal dalam tempoh masa lebih panjang.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sarawak, Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata, ini merupakan pertama kali tempoh skim kawalan harga musim perayaan itu dipanjangkan.

“Tahun lepas tempoh skim ini hanya tujuh hari. Tetapi apabila kita melihat keperluan masyarakat yang menyambut Gawai, yang telah memberi pandangan dan sebagainya, kita fikirkan kita boleh memanjangkan tempoh masa untuk skim kawalan harga ini,” katanya.

Jelasnya, ia juga bagi memberi peluang kepada pengguna membeli barang pada harga yang ditetapkan dan tempoh masa lebih panjang kerana kebanyakan yang menyambut Gawai akan berbelanja lebih awal.

“Dengan tempoh yang lebih panjang, ia juga untuk memberi peluang kepada pengguna-pengguna merancang perbelanjaan dan membeli dalam tempoh-tempoh yang ada,” ujarnya kepada pemberita, semalam.

Hadir sama ialah Ketua KPDNKK Bahagian Sibu, Kasim Mana, Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Sentral Sibu, Yiing Chung Ming serta yang lain.

Menyentuh lanjut mengenai skim, Abdul Hafidz memberitahu tiada sebarangan kenaikan harga barangan kawalan malah ayam tua dijual lebih murah daripada harga maksima tahun ini.

“Ini semua untuk kepentingan orang ramai yang menyambut Gawai Dayak. Ia sebagai langkah kerajaan memastikan pengguna mendapat nikmat daripada usaha yang  dilakukan kementerian,” jelasnya sambil menambah sebanyak 14 jenis barangan  disenarain dalam skim kawalan perayaan yang bermula 24 Mei hingga 2 Jun.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Sarawak itu memberitahu, daripada pemantauan yang dibuat di sini mendapati peniaga-peniaga mematuhi harga barang terkawal yang ditetapkan.

Malah katanya, ada peniaga menjual dengan harga yang lebih murah daripada yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Abdul Hafidz turut menasihati pengguna supaya membeli barang-barang keperluan secara berhemah.

“Walaupun untuk menyambut Gawai, tetapi biarlah perayaan ini disambut dengan meriah serta dengan perbelanjaan yang rendah,” jelasnya.