Dialog dengan KM acara kemuncak

0

‘Town Hall Session’ Hari Belia platform belia berinteraksi dengan Adenan

Oleh Patricia Gari //

BINCANG: Mawan (kiri), Abdul Karim (kanan) dan Dr Rundi (terlindung) melakukan kunjungan hormat ke atas Adenan di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, semalam.

KUCHING: Sesi bersama Ketua Menteri, ‘Town Hall Session’ merupakan acara kemuncak Hari Belia Peringkat Negeri 2015 yang akan diadakan di Bintulu pada 13 Jun depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom kepada pemberita selepas mengetuai rombongan jawatankuasa penganjur Hari Belia Peringkat Negeri 2015 mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

“Pada sesi ‘Town Hall’ nanti Ketua Menteri akan berinteraksi dengan belia yang hadir. Beliau akan menjawab soalan serta isu dibangkit wakil belia yang menghadiri sesi itu nanti,” ujarnya.

Jelasnya, kira-kira 600 belia termasuk 10 Ahli Parlimen Belia dari Sarawak dan dua Felo Perdana juga dari Sarawak dijangka turut serta.

Tambahnya, sambutan Hari Belia tahun ini sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana ia melibatkan golongan belia daripada pelbagai latar belakang sosial dalam perkongsian serta cambahan minda termasuk idea membina ke arah memantap pembangunan belia Sarawak.

Katanya lagi, pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang sambutan Hari Belia Peringkat Negeri 2015 yang disambut dari 10 hingga 14 Jun.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan dari ceramah, forum, karnival hingga ke sukan yang kita percaya dapat menarik penyertaan belia pelbagai latar belakang sosial.

“Pada masa sama, kita akan membawa bersama penyertaan pemimpin-pemimpin politik untuk berinteraksi terus dengan belia yang hadir untuk berkongsi masalah, idea dan isu semasa,” katanya.

Tambah Mawan lagi, sambutan Hari Belia Peringkat Negeri 2015 akan berterusan bagi tempoh enam bulan akan datang dan diperluas ke kawasan lain seluruh negeri.

Penganjuran program seumpama itu, katanya, membuktikan kerajaan prihatin serta mengambil berat terhadap pembangunan belia, sekali gus sedia bekerjasama dengan golongan itu dalam pelbagai bentuk rundingan demi manfaat bersama.

“Program ini boleh dikatakan sebagai Jiwa Senada mini, tetapi ia lebih kepada penglibatan seramai mungkin belia dalam rundingan isu semasa terutama golongan sebelum ini terasing daripada aktiviti dianjurkan kerajaan.

“Justeru, kita juga akan melibatkan penyertaan majikan dan agensi kerajaan lain bagi membincangkan isu paling dekat dengan belia iaitu peluang pekerjaan dan bidang keusahawanan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Belia Peringkat Negeri 2015 Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak khususnya organisasi belia dan badan korporat menganjurkan aktiviti digemari belia hari ini sepanjang enam bulan akan datang.

“Bintulu merupakan lokasi pelancaran sambutan Hari Belia Peringkat Negeri tahun ini. Ia berpanjangan selama enam bulan akan datang. Selepas ini kita akan ke Limbang seterusnya ke kawasan dikenal pasti di seluruh negeri.

“Kita akan menganjurkan program atau aktiviti seperti dimahu belia dengan kerjasama serta rundingan dengan organisasi belia juga badan korporat berminat,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Belia yang juga Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.