Dua sepupu samun warga emas direman

0

BARANG KES: Pasukan polis diketuai oleh Inspektor Hairul dan Sarjan Manogaran dan seorang anggota bersama suspek menemui semula batang kayu dipercayai diguna kedua-dua suspek untuk memukul mangsa di lokasi kejadian.

SIBU: Dua sepupu bukan sahaja rakan penyamun malah sama nama singkatan sebagai ‘Jo’ yang dicekup polis kerana merompak dan memukul seorang lelaki warga tua berjoging di Taman Rimba di Sentosa dekat sini direman tujuh hari mulai semalam.

Polis menyiasat kes tersebut berjaya menemui semula barang kes iaitu batang kayu yang digunakan kedua-dua suspek ketika melakukan jenayah tersebut di tempat kejadian.

Selain itu, kedua-dua suspek berumur 19 dan 25 tahun, berbangsa Melayu turut dibawa ke lokasi kejadian tempat barang milik mangsa juga ditemui termasuk kad pengenalan serta beberapa keping kad kredit yang disimpan di bekas beg plastik dan dicampak  ke dalam semak di kawasan Kpg. Sentosa tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada jam 9.45 pagi, mangsa berumur 71 tahun sedang berjoging di taman tersebut apabila terserempak dengan dua lelaki terbabit.

Kedua-dua suspek dikatakan sempat memberi salam ‘selamat pagi’ kepada mangsa sebelum mereka mengikutnya dari belakang dan memukulnya.

Difahamkan, mangsa meminta belas kasihan supaya dua lelaki terbabit tidak mencederakannya dan mengambil wangnya sahaja namun dia terus dipukul sehingga jatuh daripada titi.

Akibat itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri, belakang leher, belakang dan tangan kiri akibat dipukul serta terjatuh.

Mangsa kemudian pergi ke pondok taman tersebut sejauh satu kilometer dari lokasi kejadian sebelum meminta bantuan  anak untuk pergi membuat laporan di Balai Polis Sentral pada 11.46 pagi kelmarin.

Anggaran kerugian keseluruhan yang dilaporkan mangsa berjumlah RM10,000.

Bertindak daripada maklumat dan gambaran dua suspek dikatakan oleh mangsa berbadan tinggi dan seorang rendah membawa kepada penangkaapan  dua sepupu berkenaan di kawasan Kpg Sentosa pada sebelah petang kelmarin.

Siasatan lanjut polis mendapati dua sepupu terbabit positif dadah dan pernah ditahan polis sebelum ini.

Menurut pihak polis, kedua-dua suspek sempat membelanja wang sejumlah RM2,000 untuk berjoli di bandar ini manakala wang kertas dalam mata wang Singapura bernilai $3,000 dolar berjaya ditemui semula.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mencederakan mangsa.