JPAM perlu kelengkapan, logistik hadapi kompleksiti bencana

0

KUALA LUMPUR: Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) memerlukan kelengkapan serta logistik berkemampuan bagi melaksanakan operasi menyelamat mangsa bencana dan ancaman peperangan masa kini yang semakin kompleks.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata justeru kementerian telah merancang untuk membuat perolehan aset seperti helikopter, ambulans air dan Sistem Amaran Awam secara berperingkat.

“Situasi keselamatan awam dan kompleksiti bencana yang berlaku kebelakangan ini menyebabkan kementerian berpandangan bahawa perlunya JPAM diperkasa dari segi struktur organisasi, kelengkapan aset, logistik dan infrastruktur serta perluasan daerah operasi.

“Jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh saya sendiri ditubuhkan untuk melihat kesemua aspek itu,” katanya ketika menjawab soalan Chua Tian Chang @ Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Chua mahu tahu apakah perkembangan JPAM dalam usaha penyelamatan serta penyaluran bantuan bencana dan proses sedia ada sekiranya berlaku bencana.

Wan Junaidi berkata kementerian juga dalam usaha memantapkan peranan JPAM melalui pindaan Akta Pertahanan Awam 1951 (Akta 221) supaya peranan dan fungsi JPAM sebagai agensi utama pengurusan bencana dapat diperjelaskan.

“Usaha untuk meminda akta ini bukanlah bertujuan untuk menambah peranan dan fungsi JPAM atau mengambil peranan mana-mana agensi penyelamat tetapi bagi mengembalikan keupayaan JPAM sebagai barisan ketiga dalam sistem keselamatan negara,” katanya.

Katanya JPAM diletakkan sebagai barisan ketiga selepas Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sistem keselamatan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perkhidmatan Negara 1952.

Beliau berkata dalam aspek pengurusan bencana, JPAM melaksanakan tugas di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara yang menyelaras agensi-agensi keselamatan, penyelamat dan kecemasan seperti PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Wan Junaidi turut memaklumkan kekuatan pegawai tetap JPAM pada masa ini adalah sebanyak 577 orang, manakala anggota sukarelawan JPAM sebanyak 800,000 orang. — Bernama