Kes seluk saku meningkat menjelang perayaan Gawai

0

Orang ramai dinasihat berwaspada elak jadi mangsa

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Kaki seluk saku bermaharajalela menjelang musim perayaan Hari Gawai Dayak di kawasan tumpuan awam di bandar ini dengan catatan kes dilaporkan lebih tujuh kes sejak dua hari lepas.

Pagi semalam terdapat dua kes seluk saku berlaku di bandar ini termasuk kes pertama dilaporkan pagi semalam melibatkan seorang perempuan, 36 tahun kerugian RM1,200 selepas dompetnya yang disimpan di dalam beg tangan dipercayai diseluk saku pada jam 9 pagi.

Pengadu dikatakan baharu sahaja tiba di bandar ini dari Johor Bharu dan berhasrat pulang ke kampung di Katibas Song.

Malangnya, hasrat pengadu bersama seorang anak lelaki, 9, dan adik lelakinya, 20-an tergendala selepas terpaksa membuat laporan polis selepas menjadi mangsa seluk saku ketika membeli-belah di kawasan bandar.

Turut dilaporkan hilang termasuk kad pengenalan pengadu, kad pengenalan MyKid, lesen memandu Kelas D, tiga keping kad ATM serta wang tunai.

Dalam kejadian kedua seorang suri rumah berumur 48 tahun turut mendakwa dompetnya turut hilang semasa mengunjungi pasar malam di sini malam kelmarin.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarga pergi ke pasar malam di sini sekitar jam 8 malam.

Apabila dia mahu membayar kuih pau di sebuah warung di situ, dia mendapati dompet yang disimpan di kocek belakang seluarnya sudah hilang.

Menurut pengadu, dia kehilangan kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai lebih RM100 selepas dompetnya diseluk oleh orang yang tidak dikenali.

Manakala seorang perempuan berumur dalam lingkungan 30-an kehilangan beg tangan yang disimpan di dalam troli ketika membeli-belah di sebuah pasar raya di pusat komersil di Jalan Salim malam kelmarin.

Menurut pengadu, ketika sedang berbaris bersama suaminya untuk membayar barangan yang dibeli di depan kaunter, dia teringat mahu membeli minuman lalu terlupa mengambil beg tangannya yang di dalam troli.

Apabila dia kembali ke kaunter pembayaran dia mendapati beg tangannya yang mengandungi wang tunai kira-kria RM400, telefon bimbit pintar bernilai lebih RM2,000, kad ATM dan beberapa dokumen peribadi hilang.

Pengadu kemudian bersama suaminya meminta bantuan pihak pasar raya untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ternyata seorang lelaki  membawa bakul mengandungi sedikit barangan telah mengambil beg tangannya ketika suaminya sedang sibuk memunggah barangan ke kaunter.

Kes tersebut telah dilaporkan dan pihak polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek terbabit.

Sehubungan itu, orang ramai di sini dinasihat agar lebih berwaspada ketika berada di tempat awam yang menjadi tumpuan ramai terutama menjelang musim perayaan ini.