Liga K: Persaingan semakin sengit

0

KUCHING: Kempen Kleague iM 2015 yang hanya berbaki tiga perlawanan sebelum melabuhkan tirai terus menyaksikan perebutan sengit beberapa pasukan untuk memburu kejuaraan dan slot ke Liga Juara-Juara Sarawak.

Yang pasti, FC Brooke terus mendominasi carta liga selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini.

Pasukan kendalian Samsul Napiah itu unggul dengan 22 mata selepas mencatat tujuh kemenangan, sekali seri dan menjadi satu-satunya pasukan yang belum tewas.

Begitupun, FC Brooke perlu bimbang dengan ancaman Petra Giant FC yang berada di kedudukan kedua dengan 19 mata.

Kemenangan 2-0 ke atas I.E.M FC minggu lepas meletakkan Petra Giant kini mencatat enam kemenangan dan sekali seri.

KKR Axis yang berada di tangga ketiga dengan 18 mata juga masih mengintai peluang untuk memintas kelompok pasukan teratas.

Keyakinan pasukan itu semakin memuncak dan perlu digeruni selepas membelasah Demak Laut FC (DLFC) 7-0 pada Ahad lepas.

Berada di tangga keempat dan kelima Riaz FC dan JPAM SJN FC yang berkongsi 17 mata disusuli juara bertahan, DBKU di tangga keenam dengan 15 mata.

Pasukan yang menduduki tangga ketujuh hingga ke-12 DLFC (9), Borneo Island (7), KSK Satok (6), I.E.M FC (5), OBYU Realty (4) dan Marr SC (0).

Hari ini, Riaz FC akan menentang DLFC di Padang C bermula jam 2.30 petang sementara Marr SC berdepan I.E.M FC pada Jumaat juga jam yang sama.

Pada Sabtu, JPAM akan menentang OBYU (2.30) disusuli aksi menarik melibatkan KSK Satok berdepan Petra Giant.

FC Brooke berpeluang mengukuhkan kedudukan di tangga teratas jika berjaya mengatasi Borneo Island pada Ahad ini.

Aksi menarik juga melibatkan pertemuan antara DBKU dan KKR Axis pada jam 4.15 petang.