Peruntukan lancar naik taraf SK St Dominic Serian

0

KUCHING: Kerja menaik taraf infrastruktur serta pembinaan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) St Dominic Pichin, Serian dijadual siap mengikut jadual selepas menerima peruntukan tambahan RM250,000 daripada Kerajaan Negeri.

Peruntukan itu diserah sendiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem kepada Guru Besarnya, Marcos Nyandang pada satu majlis ringkas di Wisma Bapa Malaysia dekat sini semalam.

Marcos ditemui selepas majlis itu memberitahu sebelum ini Kerajaan Negeri menyalur peruntukan menerusi Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dato Sri Michael Manyin sebanyak RM50,000 bagi tujuan sama.

“Peruntukan ini bagi membiayai pembinaan bangunan tambahan terdiri daripada satu bilik Sains, sebuah makmal komputer, bilik Kemahiran Hidup, Bilik Pemulihan, Bilik Bahasa Inggeris dan Bilik Bahasa Melayu. Sekarang ia sudah 40 peratus siap,” katanya.

Jelasnya, sekolah mendapat peruntukan RM1.4 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia tetapi ia hanya untuk membina dua blok bilik darjah menempatkan enam bilik kelas, satu bilik prasekolah, tandas tiga bintang, sebuah dewan terbuka, bilik guru dan bilik guru besar.

Tambahnya dengan siapnya blok baharu itu nanti sekolah berkenaan akan mempunyai 14 bilik kelas termasuk enam sedia ada dan dua bilik prasekolah.

Marcos yang juga Pengerusi Majlis Guru Besar berkata sekolah itu ditubuh pada 1955 memulakan kerja menaik taraf sejak 2009 bagi memenuhi keperluan semakin meningkat terutama daripada jumlah murid.

Ketika ini katanya sekolah terletak kira-kira 70 kilometer dari sini mempunyai 161 murid, 16 guru dan lima kakitangan sokongan.