Project Park berjaya pertahan kejuaraan

0

BINTULU: Project Park SDP merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Liga Petronas Bintulu Edisi Ke-21 2015 dengan mengumpul 19 mata keseluruhan setelah tamat dua perlawanan terakhir liga untuk empat pasukan pilihan, Ahad lalu.

Kejuaraan memihak kepada Project Park yang menyandang juara tahun lalu berikutan ABFSB yang sebelum itu menduduki tangga teratas liga dengan 18 mata tewas 1-2 kepada GS Petronas dan terikat tanpa jaringan dengan BPJ FC masing-masing dalam perlawanan pada 20 Mei dan 24 Mei lalu.

Project Park turut memiliki kelebihan jaringan lebih besar selepas kenduri gol 8-0 pada perlawanan terakhirnya berdepan GS Petronas 23 Mei lalu berbanding 21 jaringan diraih ABFSB meskipun keduadua pasukan itu berkongsi 19 mata.

Kedudukan muktamad selepas sembilan perlawanan yang diharungi menyaksikan Project Park mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan, satu seri, dua kalah, dengan 28 jaringan dan lima bolos.

ABFSB selaku naib juara juga mengumpul 19 mata hasil enam kemenangan, satu seri, dua kalah dengan 21 jaringan dan lapan bolos.

BPJ FC di kedudukan ketiga mengumpul 17 mata hasil lima kemenangan, dua seri, dua kalah dengan 20 jaringan dan 15 bolos.

Manakala Tiger Putra UPMKB di kedudukan keempat mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu seri, tiga kalah dengan 29 jaringan dan 14 bolos.

Diikuti KSR BINDA menduduki tempat kelima yang turut mengumpul 16 mata hasil lima kemenangan, satu seri, tiga kalah dengan 20 jaringan dan 17 bolos.

Kedudukan keenam hingga ke-10 diisi oleh MLNG (12 mata), IPD Bintulu (9), Legend United (7), GS Petronas (6) dan Twister (6).

Sehubungan itu, Project Park dan ABFSB bakal mewakili Bintulu dalam Liga Juara-Juara Sarawak pada penghujung tahun ini.

Sementara itu, perlawanan 23 Mei turut menyaksikan MLNG menewaskan Legend United 4-2 dan perlawanan 24 Mei pula Tiger Putra UPMKB membelasah Twister 11-2.

Selaku juara, Project Park menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala iringan dan pingat, manakala naib juara membawa pulang wang tunai RM2,500, piala iringan dan pingat.

Pemenang tempat ketiga menerima RM750 berserta piala iringan dan tempat keempat menerima hadiah wang tunai RM500.

Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) dijangka mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada pasukan yang menang pada malam 10 Jun di Kelab Kidurong Bintulu.