Sambungan haram bangunan akan diroboh: BDA

0

Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik berdaftar apa jua jenis bangunan tidak sah dibangun

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik berdaftar apa juga jenis bangunan tidak sah dibangun dan dibina di bahagian ini, kata Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Rodziah Morshidi.

Katanya, seperti juga pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Sarawak, BDA perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana pemilik berdaftar apa juga jenis bangunan yang melaksana dan membina bangunan  tidak dibenarkan walaupun untuk pemasangan atap pelindung sekali pun.

Katanya, pemilik membina bangunan tidak dibenarkan bermaksud telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Bangunan Sarawak (SBO) 1994 iaitu melaksana, membangun dan membina mana-mana sambungan bangunan atau dengan kata lainnya sambungan haram ke atas apa-apa juga jenis bangunan tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada PBT.

“Isu ini berleluasa berlaku bukan hanya di Bintulu yang membabitkan struktur pembinaan bangunan haram dan tidak dibenarkan, namun kami akan mengambil tindakan terhadap pemiliknya di bawah Ordinan SBO 1994,” katanya pada sidang media di Wisma Bintulu semalam.

Beliau berharap mana-mana pemilik bangunan melakukan sambungan haram perlu berjumpa dengan BDA mendapatkan nasihat bagaimana menjadikan pembinaan sambungan bangunan haram dapat diselaraskan mengikut keperluan di bawah SBO.

“Kami memaklum sama ada sambungan haram boleh diluluskan, diperbaiki dan dibina semula atau diubah semula. Bagi kes sama sekali tidak dapat diluluskan, kami tiada pilihan melainkan mengarah pemilik untuk meroboh dan membina semula bangunan berdasarkan kepada pelan asal yang telah diluluskan,” tegasnya.

Katanya, meroboh keseluruhan rumah teres sedia ada untuk membina rumah baharu menjadi rumah teres setingkat atau rumah dua tingkat sekiranya tidak diberitahu dan dikekang awal mewujudkan keadaan struktur asal bangunan itu hilang dan situasi itu  sedang berlaku sekarang di Bintulu.

Beliau berkata, BDA ingin memaklumkan kepada orang awam bahawa apa-apa juga sambungan haram boleh dikenakan cukai taksiran meskipun pembinaan sambungan haram itu tidak diluluskan.

“Kami akan mengukur bahagian sambungan haram dan caj akan dikenakan dalam bil cukai pintu seperti yang dibenarkan di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996.

“Pemilik bangunan boleh merujuk bil cukai pintu yang menyelitkan amaran bahawa BDA perlu tanpa prejudis (mengambil tindakan undang-undang) dengan mengenakan kadar cukai penilaian lanjut terhadap mana-mana bangunan sambungan haram,” jelasnya.

Ujarnya, dalam keadaan itu, BDA menasihati pemilik mana-mana bangunan di bandar sama ada kediaman atau komersial perlu tampil ke hadapan untuk mendapatkan nasihat, walaupun sambungan haram itu dilakukan oleh penyewa, pemilik perlu bertanggungjawab terhadapnya.

“Pada masa ini menurut kuasa Seksyen 10(1)(a) SBO, BDA mengarahkan semua pemilik bangunan di Bintulu untuk menghentikan tindakan memula, melaksana dan membina apa juga jenis sambungan haram dengan serta-merta bermula dari tarikh kenyataan akhbar ini disiarkan yang sekiranya gagal dipatuhi, kami terpaksa meroboh sambungan haram dan kos ditanggung pemiliknya,” katanya.

Selain itu katanya, BDA akan mendakwa pemilik di mahkamah atas kegagalan mematuhi `Arahan Henti Kerja’(Stop Work Order) dan sabit kesalahan boleh didenda RM200 sehari bermula dari hari `Arahan Henti Kerja’  yang digagal dipatuhi.

Katanya, pegawai penguat kuasa dan bangunan juga akan melakukan kerja pemeriksaan tapak secara rawak dari semasa ke semasa.

“Setakat ini kami telah mengeluarkan lima Arahan Henti Kerja terhadap pemilik bangunan dan tindakan itu masih diteruskan,” katanya.

Pemangku Timbalan Pengurus Besar BDA, Bohari Kipli; Setiausaha BDA merangkap Pengurus Kanan (Undang-undang), Siti Aishah Othman, pengurus-pengurus kanan, pengurus dan pegawai kanan BDA turut hadir dalam sidang media itu.