Sarawak teruskan rentak cemerlang

0

KUCHING: Sarawak mencatat kemenangan kedua dalam kempen Liga Perdana Kebangsaan Tier A selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kelebihan enam wicket di Kinrara Oval pada Isnin lepas.

Sarawak yang turun dengan misi mengutip tiga mata penuh untuk memastikan pasukan mereka mampu bersaing dengan pasukan elit kebangsaan yang lain telah memenangi undian dan memilih untuk membaling terlebih dahulu pada sesi pagi.

Sarawak tidak menunggu lama untuk mengeluarkan pemukul ATM apabila gandingan tiga pembaling awal Sarawak, HIA Jayaratne, AML Perera dan DK Ranaweera berjaya meranapkan tiga pemukul awal pasukan ATM di kedudukan 23 larian tiga wicket pada ‘over’ yang memasuki angka 12.

Tersentak dengan kedudukan itu, gandingan pemain senior kebangsaan dan bekas ketua pasukan bawah 19 tahun kebangsaan, Suharil Fitri dan Shahadat Ramly berjaya kembalikan semula saingan pasukan ATM selepas masing-masing berjaya mengumpul 45 larian dan 41 larian sebelum pemutar Sarawak, Amirul Rashid berjaya mengeluarkan Suharil Fitri.

Tidak cukup dengan itu, giliran Faruq Hakimin dan Maxwell Stephen pula mengeluarkan pemukul pasukan ATM.

ATM cuma mengumpul 158 larian dalam 43.4 over selepas Sarawak berjaya menyingkir semua pemukul pasukan lawan.

Sarawak yang memerlukan 159 larian untuk memenangi perlawanan telah meletakkan pemain berpengalaman yang juga jurulatih mereka, Ranaweera dan Ahmad Tajudin untuk membuka pukulan bagi menyerap asakan pembaling ATM.

Pasukan yang berpusat di Sungai Besi itu tidak menunggu lama selepas berjaya meranapkan dua pemukul awal Sarawak iaitu Ahmad Tajudin dan Ahmad Faiz pada kedudukan 42 larian di over kelapan.

Gandingan mantap Ranaweera dan Shafiq Sharif telah berjaya memberikan kemenangan kedua pasukan dari Borneo itu.

Ranaweera juga dipilih sebagai pemain terbaik selepas berjaya mengumpul 77 larian tanpa tewas di lapangan tengah.

Dengan kemenangan kedua itu, pasukan Sarawak berjaya memintas pasukan Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan ATM untuk berada di tangga kedua liga di belakang pasukan Selangor selepas 5 perlawanan.

Sarawak akan berdepan pasukan Kuala Lumpur pada Khamis ini dan Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad akan datang untuk menamatkan saingan liga pada tahun ini.

“Cukup gembira dengan kemenangan ini namun kita perlu memenangi tiga perlawanan akan datang sambil berharap Selangor kehilangan mata dalam perlawanan mereka.

“Jika ini berjaya dicapai, impian kita untuk menjadi juara akan menjadi kenyataan,” ujar kapten Sarawak, Gordon Chung Pei Nan.