Tambang feri Marudi, Long Lama bagi kereta diselaras kepada RM1 mulai esok

0

KUCHING:  Kadar tambang feri Marudi dan Long Lama bagi kereta penumpang akan diselaraskan kepada RM1 berkuat kuasa esok, 29 Mei 2015.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhu-bungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi subsidi agar caj feri di dua kawasan itu selaras dengan 12 lagi feri di kawasan lain.

“Bermula 29 Mei (esok), semua kereta hanya perlu membayar RM1 manakala bagi bas RM5, seperti 12 feri di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, majlis pelancaran kadar baharu itu di Long Lama akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, manakala Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri Muran di Marudi.

Dalam perkembangan lain, Manyin ketika mengulas kenyataan ADUN Padungan Wong King Wei yang mahu tambang percuma bagi peng-angkutan awam di bandar raya ini, tidak menafikan bahawa ia merupakan cada-ngan baik.

“Bagaimanapun, cada-ngan itu tidak sesuai, tidak praktikal dan kita tidak berkemampuan. Lagipun, jika Kuching menawarkan tambang percuma, bagai-mana kawasan lain seperti Sibu, Bintulu, Sarikei dan kawasan bandar yang jelas lebih memerlukan tambang percuma,” katanya.

Wong, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan lepas me-nyarankan kerajaan negeri menyediakan kemudahan perkhidmatan bas awam percuma untuk warga kota bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di bandar-bandar di negeri ini khususnya di bandar raya Kuching.

“Saya menyokong usaha Ketua Menteri (Datuk Pa-tinggi Tan Sri Adenan Satem) dengan projek pembesaran jalan raya di bandar raya ini, namun langkah yang lebih berkesan untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas adalah dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik di bandar,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Manyin yang juga ADUN Tebedu memberitahu, mutu pengangkutan awam di bandar raya ini dijangka dipertingkatkan pada tahun depan menerusi inisiatif subsidi ke atas perkhidmatan bas awam oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Di bawah inisiatif tersebut, ujarnya, laluan perkhidmatan bas akan diberi subsidi bagi setiap kilometer tanpa mengira sama ada terdapat penumpang atau tidak tetapi untuk melayakkannya menerima subsidi, syarikat-syarikat bas terlibat perlu membeli bas baharu.

Bagi merealisasikan perkara itu, lima syarikat bas telah membentuk konsortium dan mereka dijangka menandatangani satu perjanjian, kemungkinan pada bulan depan.

“Saya difahamkan, konsortium ini telah menempah 140 buah bas dengan jumlah keseluruhan laluan 512.6 kilometer, iaitu peningkatan sebanyak 68 peratus liputan laluan di Kuching,” katanya.

Menurut Manyin lagi, kesemua bas baharu terbabit yang dilengkapi sistem navigasi satelit iaitu Sistem Kedudukan Global (GPS) juga mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan bakal dikenali dengan jenama ‘MyBus.’

“Saya berharap semua rundingan yang akan dijalankan bulan depan berjalan lancar agar kita dapat menyaksikan perkhidmatan itu beroperasi awal tahun depan,” katanya.