Tiada pilih kasih

0

Tindakan ke atas pemandu sebabkan kematian tidak mengira jawatan, kedudukan: Sabtu

Oleh Clare Cinderella //

JAGA KESELAMATAN: Sabtu memakaikan topi keledar untuk kanak-kanak lelaki, Dhasel Jamal, 3, sambil diperhatikan ayahnya, Jamal Sulai dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit (tengah) pada pelancaran rasmi Ops Selamat di Miri, semalam.

MIRI: Tindakan undang-undang tetap akan diambil terhadap pemandu yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa mengira jawatan atau kedudukan, termasuk anggota dan pegawai polis sendiri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman memberitahu, walaupun kemalangan maut melibatkan anggota polis sendiri, siasatan tetap akan dibuat untuk menentukan siapa yang bersalah.

“Sebagai contoh dalam kes yang berlaku di Saratok baru-baru ini, salah seorang yang terlibat mengakibatkan kematian adalah anggota polis.

“Kita tetap menjalankan siasatan siapa sebenarnya yang bersalah tanpa kira jawatan, kedudukan atau polis sendiri terlibat,” ujarnya.

Sabtu berkata demikian semasa berucap merasmikan pelancaran Ops Selamat sempena Hari Gawai Dayak 2015 di pusat komersial dan pasar raya Emart di sini, semalam.

Mengenai Ops Selamat bermula 25 Mei lalu, Sabtu berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 52 peratus apabila dalam tempoh dua hari, sebanyak 104 kes kemalangan dicatatkan berbanding tahun 2014 yang cuma merekodkan 68 kes.

“Jumlah kenderaan terlibat dalam kemalangan pada hari kedua Ops Selamat tahun ini pula sebanyak 166 buah berbanding tempoh sama tahun lepas, 110 kenderaan,” jelasnya.

Sabtu turut menyatakan kebimbangan mengenai angka kemalangan yang meningkat mendadak, walaupun kes kemalangan maut menurun.

Sentiasa berhati-hati semasa memandu balik kampung

“Saya mendedahkan statistik ini kepada anda supaya pengguna jalan raya mengambil peranan masing-masing memastikan agar angka ini tidak terus meningkat sepanjang tempoh 15 hari beroperasi berlangsung,” katanya lagi.

Sabtu mahu pengguna yang pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Hari Gawai Dayak sentiasa berhati-hati dan memastikan kelajuan tidak melebihi had ditetapkan.

“Lebih-lebih lagi dengan keadaan jalan raya di negeri ini tidak rata di samping terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan berat,” katanya.

Selaras dengan tema Ops Selamat tahun ini iaitu ‘Rumah Selamat dan Selamat Sampai Ke Destinasi,’ beliau mahu pemilik rumah yang meninggalkan rumah mereka untuk bercuti memaklumkan kepada polis dengan memberikan alamat kediaman masing-masing secara terus mahupun menerusi laman web Rakan Cop.