Tikam perut gara-gara ‘diganggu’

0

Lelaki dihantar untuk berubat tradisional dakwa dikejar makhluk halus

Oleh Jeremy Lanson //

RAWAT: Mangsa dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut.

SERIAN: Tidak tenteram kerana mendakwa sering diganggu makhluk halus, seorang lelaki nekad menikam perutnya dalam satu insiden di Balai Ringin, dekat sini semalam.

Mangsa yang berusia 44 tahun itu dikatakan bertindak sedemikian di rumah kakaknya dan hanya disedari oleh keluarganya sebaik mendengar jeritannya meminta tolong sekitar jam 5 pagi.

Menurut abangnya, mangsa sejak beberapa hari lepas mengadu dirinya sering diganggu makhluk halus dan Selasa lepas dihantar ke rumah kakaknya itu untuk mendapatkan rawatan tradisional.

“Dia sering mengadu diganggu makhluk halus menyebabkan kami berasa dia perlu mendapatkan rawatan tradisional dan disebabkan itu, dia dihantar ke Balai Ringin.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih teruk apabila dia bertindak menikam perutnya menggunakan pisau dan perkara itu hanya disedari apabila dia (mangsa) menjerit meminta tolong.

“Ketika keadaannya semakin lemah, dia masih juga memberitahu dirinya dikejar makhluk halus,” katanya.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Serian dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan HUS.

Difahamkan, mangsa sebelum ini juga pernah dirawat di Hospital Sentosa, Kuching.