Tindakan tegas jika langgar peraturan

0

OPS SELAMAT: Fauzilan (kanan) menyampaikan risalah kepada pemandu bas dan pengguna jalan raya mengenai Ops Selamat 2015 semalam.

KUCHING: Tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah trafik yang melanggar peraturan jalan raya sepanjang pelaksanaan Ops Selamat yang bermula sejak 25 Mei lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintenden Fauzilan Abdul Aziz berkata penguatkuasaan secara optimum terhadap pesalah trafik berupaya mengurangkan risiko kemalangan sepanjang perayaan Hari Gawai Dayak.

Menurutnya, lebih daripada 100 anggota dan pegawai dari cawangan Trafik, Unit Kereta Peronda Polis (MPV), Unit Ronda Bermotosikal (URB) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan terlibat sepanjang operasi tersebut.

“Anggota dan pegawai kita akan bertugas setiap hari sepanjang operasi ini sehingga 7 Jun yang melibatkan kawalan lalu lintas dan pencegahan jenayah.

“Kita percaya, melalui pendekatan tegas seperti ini, tidak akan memberi peluang kepada pengguna jalan raya melanggar peraturan yang sedia ada sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau pelaksanaan operasi tersebut di Jalan Lingkaran Luar, Kuching di sini semalam.

Fauzilan turut mengingatkan orang ramai untuk memaklumkan kepada mana-mana balai polis terdekat jika meninggalkan rumah bagi tempoh lama.

“Kita juga akan meningkatkan aktiviti pencegahan jenayah khususnya dalam membanteras kes-kes pecah rumah.

“Disebabkan itu, kita mohon orang ramai yang meninggalkan rumah dalam tempoh lama agar memaklumkan kepada pihak polis supaya rondaan lebih kerap dilakukan di kawasan-kawasan rumah mereka,” katanya.