Wadah timba ilmu, fahami budaya

0

Guru wajar manfaatkan penempatan mengajar di pedalaman Sarawak

Oleh Judan Bungap //

SIBU: Guru Semenanjung Malaysia yang berkhidmat di kawasan pedalaman Sarawak wajar menjadikan penempatan masing-masing sebagai wadah menimba ilmu selain mendapat pendedahan baharu dunia pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, mereka juga perlu menjelaskan perbezaan antara rakyat Sarawak dan Semenanjung Malaysia apabila kembali semula ke kampung halaman.

“Ini bagi meningkatkan pemahaman serta integriti sekali gus mengeratkan keakraban rakyat negeri ini dengan Semenanjung Malaysia termasuk Sabah,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Selangau di sini, semalam.

Entulu menjelaskan, semasa mereka berkhidmat di Sarawak, kemungkinan besar mereka terdedah dengan budaya dan cara hidup berbeza daripada tempat asal.

“Saya percaya keadaan ini berlaku kepada mereka yang ditempatkan di sekolah kawasan pedalaman seperti di Kapit dan Belaga,” katanya.

Jelas beliau, kesempatan itu juga boleh diambil peluang untuk mempelajari bahasa serta dialek tempatan.

Menurut Entulu, sekitar tahun 70-an dan 80-an, penduduk tempatan berasa hairan apabila mendengar dialek diguna orang Semenanjung Malaysia.

“Namun pada masa sekarang, ramai rakyat Sarawak dapat meniru cara mereka bertutur. Saya tidak tahu sama ada orang dari Semenanjung Malaysia boleh bertutur dalam dialek tempatan Sarawak tetapi akan terdapat integrasi sebenar jika mereka boleh berbuat demikian,” katanya lagi.

Mengenai usaha kerajaan meningkatkan pendidikan di negara ini, Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata, banyak penambahbaikan telah dilaksana termasuk meningkat pelbagai kemahiran dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, bagaimanapun negara ini masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

“Kita masih perlu berusaha keras dalam membangunkan bidang pendidikan,” tambah beliau sambil berharap guru dapat mencontohi kecemerlangan  dikecapi SK Ulu Lubai di Limbang.

Entulu mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 dan RM5,000 untuk setiap sekolah menengah dan rendah di kawasan Parlimen Selangau.

Beliau juga mengumum satu lagi geran sebanyak RM10,000 bagi Lembaga Guru Besar Selangau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh telah dinobatkan sebangai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Daerah Selangau Tahun 2015.

Mauh, lahir pada tahun 1951, merupakan bekas guru sebelum beliau menyertai politik pada tahun 1990 sehingga sekarang.