Bomba diperkasa

0

MANTAP: Jabu (duduk tengah) bersama tetamu kehormat dan pegawai-pegawai bomba merakamkan kenangan bersama jentera-jentera baharu bomba.

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri telah menerima agihan jentera, kenderaan utiliti dan peralatan operasi bernilai RM28.9 juta untuk memperkasakan kekuatan logistik dan kelengkapan jabatan bagi menangani sebarang insiden kecemasan terutama kebakaran, kemalangan atau bencana dengan lebih cepat dan efisien.

Aset-aset terbaharu itu terdiri daripada 10 ‘prime mover’ berserta treler tangki air, 21 kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS), masing-masing empat lori pengangkut berkapasiti tiga tan dan lima tan, enam bot penyelamat dan peralatan sokongan lain.

Justeru, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, kesemua aset tersebut akan ditempatkan di balai-balai mengikut keperluan strategik di seluruh negeri untuk meningkatkan lagi keberkesanan operasi dari sudut masa bertindak apabila berlaku sebarang kecemasan.

“Saya berpandangan bahawa perolehan jentera-jentera dan kenderaan utiliti ini amat relevan dan bertepatan sekali untuk menampung keperluan di negeri ini khususnya ketika kemarau dan musim banjir.

“Kita akui ada kalanya kita menghadapi masalah untuk memberi bantuan dengan cepat kepada masyarakat dalam sesuatu musibah terutamanya banjir disebabkan kekangan sumber logistik yang tidak mencukupi untuk dikerah ke semua kawasan pada satu-satu masa kerana keluasan negeri begitu besar.

“Justeru, saya percaya dengan adanya pertambahan aset ini yang ditempatkan hampir di seluruh daerah akan menambah baik sistem penyampaian jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jentera Bomba 2015 di Balai Bomba Tabuan Jaya di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Nor Hisham Mohammad, ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datu Dr Penguang Manggil dan Pengarah Unit Keselamatan Negeri Datu Dr Yusof Nook.

Selain itu, Jabu berkata penyerahan aset tersebut juga merupakan bukti komitmen kerajaan dalam mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat di negara dan negeri ini melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berkesan.

“Kesejahteraan hidup rakyat merupakan elemen utama yang perlu diberikan perhatian terutama melibatkan aspek keselamatan nyawa dan harta benda.

“Bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat, kerajaan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kemudahan dan kekuatan aset yang berkaitan seperti jentera, kenderaan utiliti dan peralatan operasi bomba ini,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata pihaknya telah mengenal pasti penempatan aset-aset tersebut mengikut keperluan strategik supaya perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan dapat diberi kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

“Dengan pertambahan aset-aset ini khususnya ‘prime mover,’ lori pengangkut, kenderaan penarik dan bot penyelamat, ia diharap dapat membantu agensi-agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk menangani dan memberi bantuan kepada masyarakat khususnya ketika kemarau atau banjir,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham memberitahu pengwujudan unit khas EMRS dalam bomba bertujuan memberi pertolongan kecemasan awal kepada anggota dan mangsa kebakaran atau kemalangan sebelum menghantarnya ke pusat perubatan.

Jelas beliau, buat masa ini bomba negeri mempunyai seramai 82 pegawai EMRS dan jumlahnya akan ditambah dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan semasa dengan mengambil kira norma keluaran yang ditetapkan.

“Dengan adanya keupayaan mengadakan rawatan awal ini, diharap kadar keseriusan kecederaan dan trauma mangsa dapat dikurangkan.

“Kenderaan ini (EMRS) juga akan membantu untuk menampung keperluan ambulans semasa kecemasan terutama di daerah-daerah kecil,” katanya.