Empat kawasan panas seludup rokok, minuman keras

0

MULA OPS PACAK: Matrang (tengah) ketika melekatkan poster di sebuah kedai di Miri sambil ditemani Lawrence (kiri).

MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenal pasti empat lokasi panas padat penduduk aktif dengan kegiatan penyeludupan barangan kritikal iaitu rokok dan minuman keras.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, kawasan panas itu ialah Miri, Kuching, Sibu dan Bintulu.

Menurutnya, selain kepadatan penduduk, kegiatan itu turut mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.

Jelasnya, JKDM percaya barangan diseludup masuk datangnya dari negara-negara Asia termasuk Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Barangan seludup ini bolos melalui pintu masuk imigresen, jeti haram termasuk jalan tikus,” ujarnya pada sidang media selepas perasmian Majlis Pelancaran Ops Pacak JKDM di sini semalam.

Matrang menjelaskan, JKDM akan membuat operasi secara berkala di kawasan panas tersebut dan memerlukan kerjasama bersepadu dengan agensi serta pihak penguatkuasaan lain.

Antara agensi dan badan penguatkuasaan yang terlibat dalam operasi dijalankan itu ialah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan sebagainya.

Ops Pacak dilancarkan di Miri sebagai lanjutan Ops Outlet dan ia berlangsung selama sebulan dari 28 Mei hingga 27 Jun 2015.

Operasi berkenaan juga salah satu daripada keseriusan JKDM membanteras kegiatan penyeludupan, penjualan serta pengedaran barangan kritikal termasuk rokok, minuman keras serta lain-lain.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datin Dayang Fatimah Johari, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Lawrence Lai dan Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Assan Mohamad.