Keharmonian rakyat jamin pembangunan

0

MENCUBA: Simoi (kanan) bersama sama penduduk Rumah Wilson memukul gong semasa berjalan sepanjang ruai rumah panjang sebelum bermulanya program berkenaan di Sri Aman, semalam.

Perpaduan, keharmonian rakyat harus terus dipupuk ke arah capai status negara maju

Oleh Kelvin Lambai //

SRI AMAN: Perpaduan dan keharmonian rakyat harus terus dipupuk bagi meneruskan agenda pembangunan ke arah menjadikan negara ini mencapai status negara maju pada 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, jika rakyat terus mengekalkan perpaduan, keharmonian serta mengamal sifat toleransi sesama sendiri, nescaya segala pembangunan bakal dibangunkan di seluruh negeri ini berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pra-Gawai 2015 di   Rumah Wilson Bada, Gran Stumbin, Sri Aman semalam.

Katanya rakyat negeri ini seharusnya bersyukur kerana perpaduan kaum telah lama wujud dan sentiasa dipupuk.

Selain itu, Simoi turut mengingatkan rakyat agar terus bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam meneruskan pelbagai projek pembangunan.

“Kerjasama antara kedua-dua pihak amat penting. Jika rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan maka segala pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan terbabit dapat dibangunkan dengan jayanya,” katanya.

Simoi menjelaskan, jika rakyat tidak menjalin kerjasama erat dengan kerajaan dan tidak menyokong segala dasar pembangunan bererti mereka menolak pembangunan yang disalur kerajaan.

Hadir sama pada majlis berkenaan Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Lingga Mohd Ellfizan Paukan, ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat setempat.

Pada majlis itu, Simoi turut mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM10,000 untuk Rumah Wilson Bada bagi  membaik pulih rumah mereka dan RM2,000 lagi untuk Biro Wanita rumah tersebut.