Polis Bantuan bantu kurangkan jenayah

0

KELULUSAN: Acryl (enam kiri) bersama pegawai kanannya dan wakil dari tiga buah syarikat terbabit.

Kuasa yang diberi adalah sama seperti anggota dalam PDRM ketika bertugas: Acryl

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Penubuhan lebih banyak pasukan Polis Bantuan (PB) di kawasan ladang mampu mengetatkan lagi kawalan keselamatan sekali gus mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata PB diberi kuasa sama seperti anggota dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika bertugas di kawasan ladang atau premis tempat mereka ditugaskan.

“Kuasa diamanah kepada PB sama dengan kuasa diberi kepada anggota dalam PDRM. Mereka boleh menangkap, menahan atau memeriksa seseorang dirasakan perlu diperiksa ketika masuk ke kawasan bertugas,” katanya.

Acryl berkata demikian pada sidang media yang di sebuah hotel terkemuka di sini pagi semalam.

Terdahulu, beliau telah menyampai Sijil Kelulusan PB kepada tiga buah syarikat swasta di sini terdiri daripada Samling Sdn Bhd, Ta Ann Sdn Bhd dan Seatex Plantation Sdn Bhd.

Hadir sama Ketua JPJKKK Kontinjen Sarawak SAC Burhanuddin Abdul Majid yang juga mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Sri Muhammad Sabtu Osman, SAC Saiful Azly Kamaruddin selaku Ketua Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan JPJKK Bukit Aman dan Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee.

Menurut Acryl, setaakt ini sebanyak 204 unit PB telah ditubuh di seluruh negara termasuk 57 unit di Sarawak.

Manakala kelulusan hanya diberi kepada agensi kerajaan dan swasta yang ada mengemuka permohonan menubuhkan unit PB di kawasan premis, bangunan atau ladang masing-masing,

Sehubungan itu, katanya, penubuhan unit ini dalam syarikat swasta berjaya mewujudkan kolaboratif bersama antara PDRM dalam pelbagai aspek luas dan memberi impak kepada indeks penurunan jenayah setempat.

“Penglibatan pihak swasta dalam pencegahan jenayah merupakan pendekatan inklusif di atas platform tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

Jelasnya, kelulusan penubuhan PB kepada syarikat swasta satu langkah tepat dan kena pada masanya.

“Dalam konteks masyrakat terbuka, keselamatan adalah satu manifestasi bangsa berdisiplin, bertanggungjawab, berpengetahuan dan memiliki jati diri cemerlang,” katanya lanjut.

Dalam pada itu, menyentuh lanjut kelulusan unit PB untuk tiga syarikat terbabit, Acryl memberitahu ia telah mewujudkan perjawatan sebanyak 270.

Katanya, jika dilihat dari segi angka, ia memang tidak mencukupi namun mereka boleh memohon untuk penambahan jawatan.