Yakin 5 juta lawat Sarawak

0

CEMERLANG: Abang Johari menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan kementerian sambil disaksikan Gramong (dua kanan) dan Talib (kiri) pada Majlis Makan Malam Penghargaan Kementerian Pelancongan.

Ia berdasarkan peningkatan peratusan ketibaan pelancong setiap bulan, kata Abang Johari

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Sarawak optimis mampu mencapai lima juta ketibaan pelancong menjelang penghujung tahun ini berdasarkan peningkatan peratusan ketibaan pelancong setiap bulan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pada Mac lepas negeri ini menyaksikan peningkatan tujuh peratus ketibaan pelancong berbanding tahun sebelumnya.

Ia menurut beliau terus menunjukkan peningkatan pada bulan seterusnya (April 2015) dengan lapan peratus berbanding kedatangan pelancong pada 2014.

“Pada tahun ini kita menyasarkan lima juta ketibaan pelancong dan jika peratusan ketibaan meningkat setiap bulan saya yakin kita mampu mencapai sasaran.

“Misalnya pada tahun lepas kita menyasarkan 4.5 juta ketibaan namun kita berjaya mencapai 4.8 juta ketibaan, yang mana ia menjana RM10.6 bilion iaitu 70 peratus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaaan Kementerian Pelancongan Sarawak yang dihadiri dua Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Gramong Juna serta Setiausaha Tetap Kementerian Datu Ik Pahon Joyik di sini, malam kelmarin.

Abang Johari menegaskan, beliau juga percaya sasaran berkenaan mampu dicapai dengan adanya perancangan menaik taraf infrastruktur pelancongan di seluruh negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Dalam RMK11 katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukkan bagi menaik taraf 14 kubu di seluruh negeri dan ia adalah sejarah yang ada di Sarawak sebagai tarikan pelancongan.

“Selain itu kita menerima pelaburan dalam industri perhotelan di mana kita dalam usaha membangunkan hotel termasuk sebuah yang bertaraf antarabangsa dibina Tabung Haji dekat lapangan terbang.

“Kita juga dimaklumkan sebuah hotel bakal memulakan pembinaan di Isthmus…begitu juga Hotel Majestic Riverside, bakal mempunyai satu lagi bangunan dan pembangunan taman tema air di Pasir Panjang di Santubong,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, ia adalah antara pembangunan dalam sektor pelancongan dan berharap dalam masa tiga tahun akan disiapkan.